Jenayah

Anggota polis bersekongkol dengan “Geng Nicky” didakwa bawah jenayah terancang

ANGGOTA polis yang bersekongkol dengan “Geng Nicky” akan dikenakan tindakan di bawah jenayah terancang.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu adalah paling tepat, mudah, paling tegas untuk diambil terhadap anggota berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menyerahkan senarai nama anggota terbabit kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebagaimana yang diminta oleh Pengarah JIPS Zamri Yahya.

Ayob Khan menjelaskan tidak ada guna beliau mendedahkan senarai nama terbabit kepada JIPS dan akan memberi tumpuan untuk melengkapkan kertas siasatan dan menangkap semua pegawai dan anggota yang disenaraikan itu.

“Saya tidak akan serah pada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) untuk ambil tindakan, saya hendak ambil tindakan bawah jenayah terancang, bagi saya itu yang paling tepat, mudah, paling tegas untuk kita ambil tindakan.

“Tetapi, saya kena pastikan cukup bukti dan bagi masa sedikit, itulah soalan yang sentiasa ditanya di sini (Johor) dan Bukit Aman, bila senarai itu hendak dikeluarkan.

“Saya tidak akan keluarkan, tidak guna saya keluarkan untuk berkongsi, yang pasti bila siasatan lengkap kita akan tangkap, tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media.

Zamri Yahya, dilaporkan menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan “Geng Nicky” diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee.

Menurut Zamri, Bukit Aman memerlukan senarai itu daripada polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

Ayob Khan menegaskan, keutamaan untuk tindakan tatatertib adalah pilihan terakhir pihaknya.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor akan mengunakan format penangkapan dan pendakwaan terhadap 24 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasa dalam Ops Benteng yang dilaksanakan sebelum ini.

“Inilah format yang akan digunakan untuk kes Datuk Seri Nicky, keutamaan untuk tindakan tatatertib adalah pilihan terakhir, sekali kita akan buat dan kami (polis Johor) masih menjalankan dan mengemaskini kertas siasatan, bila sudah lengkap nanti kita akan tangkap,” katanya.-SM

(Visited 485 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button