BeritaPolitik

Cabaran besar Marzuki selaku Setiausaha Agung Bersatu

DALAM mana-mana parti politik, setiausaha agung antara orang penting untuk memastikan kesiapsiagaan parti berada di tahap terbaik dan berkesan.

Setiausaha agung perlu sentiasa mengemaskini data-data ahli dan parti.

Sebagai sebuah parti yang menyaksikan julung kali mengadakan pemilihan jawatan pelbagai peringkat, cabaran kesiapsiagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut bergantung kepada kerja keras dan komitmen setiausaha agungnya, Datuk Marzuki Yahya,

Suara Merdeka bertemu Marzuki di ibu negara baru-baru ini yang berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya mempersiapkan parti yang mempunyai 363,167 orang ahli tersebut.

Bersatu ketika ini bersedia mengadakan mesyuarat cawangan yang dijadual dari 15 Februari hingga 29 Mac depan; persidangan Bahagian (18 April) dan mesyuarat agung (25 hingga 28 Jun).

Antara cabaran besar dilalui Marzuki yang mengikut fasal perlembagaan Bersatu merupakan kuasa setiausaha agung adalah untuk menempatkan ahli dalam cawangan-cawangan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Daripada 3,800 permohonan cawangan Bersatu, yang layak untuk membuat penubuhan adalah sebanyak 2,950.

“Ini bermakna terdapat lebih 800 cawangan yang tidak berjaya untuk membuat penubuhan dalam tempoh ditetapkan oleh ROS.

“Kesemua 2,950 cawangan ini diluluskan pada 30 November 2019. Yang menjadi cabaran kepada saya adalah bagaimana kesemua cawangan ini mesti ditempatkan ahli,” kata beliau.

Lebih penting lagi dalam memastikan setiap cawangan memiliki ahli adalah kerana Bersatu mempraktikkan sistem “1 ahli 1 undi” dalam jawatankuasa cawangan dan bahagian.

Sebab itu, beliau memberi ruang masa kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan memandangkan tempoh pemilihan begitu dekat.

“Justeru, pada 8 Januari (2020) lalu saya beri ruang kepada ahli-ahli untuk pilih cawangan mana untuk mereka mahu ditempatkan.

“Dan sudah pasti akan ada pertindihan dan ketidakpuasan hati. Bagaimanapun kita telah berjaya mengatasi masalah ini. Insya-Allah saya selaku Setiausaha Agung akan keluarkan senarai muktamad sebelum 5 Februari

“Ini (pemilihan parti) suatu titik sejarah buat Bersatu yang sudah pasti semakin lasak setelah menempuh ujian demi ujian setelah bersama parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional yang berkuasa lebih 60 tahun dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018,” kata Marzuki.

Marzuki baru-baru ini menang tanpa bertanding Ketua Bahagian Bersatu Bagan.

Difahamkan, beliau setakat ini memilih untuk tidak menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

– SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button