BeritaPolitik

Buang gejala gengsterisme, utamakan kekeluargaan

SEMUA ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan terlibat dalam proses pemilihan “satu ahli satu undi” diseru membuang gejala gengterisme dalam memilih atau menyokong calon pilihan mereka.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, calon-calon harus bertanding dalam suasana kekeluargaan kerana siapa pun yang terpilih akan memikul tanggungjawab meneruskan agenda Bersatu untuk kesejahteraan bangsa, agama dan negara.

“Parti ini baharu lagi, masih banyak tugas dan tanggungjawab kita untuk perkuatkan parti.

“Kalau dengan pemilihan ini nak bergaduh, bila sampai pilihan raya umum ke-15 parti kalah, jadi, apa guna pegang jawatan yang akhirnya parti jadi pembangkahg.

“Setiap kawan kita masing masing ada kebolehan dan kepakaran, maka sebab itu saya sentiasa menyokong mereka supaya dapat jalankan tugas yang baik setelah dipilih nanti untuk meneruskan perjuangan Bersatu,” kata beliau ketika ditemui Suara Merdeka hari ini.

Malah, Marzuki mengingatkan apatah lagi ini kali pertama Bersatu mengadakan pemilihan parti setelah menempuh laluan berliku sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018.

Dalam aspek ini, kata Marzuki, tidak timbul isu ‘parti yang kecil bilangan kerusi parlimennya mengetuai gabungan Pakatan Harapan’ kerana titik tolaknya adalah keupayaan menjatuhkan kerajaan terdahulu terbukti berhasil.

“Kalau lihat pembangkang hari ini begitu ghairah tetapi tak dapat tawan kerajaan pun.
“Kehadiran Bersatu pula memberi impak besar terutama kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dapat menyatukan pembangkang (sebelum PRU-14) menjadi gabungan yang kuat dipanggil Pakatan Harapan,” kata beliau.

Ditanya soalan klise berhubung survival Bersatu selepas era Dr Mahathir, kata Marzuki:

“Saya selalu ingatkan di sini bahawa dalam sesuatu perjuangan itu akan ada patah tumbuh hilang berganti.

“Selagi kita berpegang kepada perjuangan untuk menegakkan kebenaran, pastikan negara terbela, rakyat sentiasa dalam keadaan aman, inilah yang perlu disokong.

“Kalau tanpa Perdana Menteri pun, jika Bersatu dalam landasan sebenar, kita pasti akan disokong rakyat.

“Jangan jadi macam UMNO, dari sebuah parti kecil perjuangkan kemerdekaan, bangunkan negara tetapi kerana kerosakan dilakukan pemimpin UMNO, rakyat sendiri tolak mereka. Jadi, kita kena bawa apa yang dimandatkan Dr Mahathir dalam parti.”

– SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button