Politik

Zahid enggan letak jawatan, ikrar baiki parti

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menunjukkan sebarang hasrat untuk meletakkan jawatan, walaupun sedar wujud gesaan terhadapnya supaya berbuat demikian susulan prestasi UMNO terburuk sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Mengaku “bertanggungjawab sepenuhnya” atas apa yang terjadi, beliau bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan mahu berundur diri atau tidak, menerusi laporan The Star hari ini.Sebaliknya, beliau berikrar akan memperbaiki nasib UMNO dengan dibantu oleh kepimpinan parti.

“Saya sedar desakan itu (supaya berundur) wujud. Apa yang saya boleh janjikan ialah, saya dengan bantuan kepimpinan parti akan melakukan lebih banyak lagi untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Kami akan meneliti pendekatan dan strategi kami. Kami akan guna pakai yang baharu, supaya kami boleh kembali memenangi hati dan minda pengundi,” Ahmad Zahid dipetik berkata.

Ujarnya, ini bukan kali pertama seseorang Presiden UMNO digesa untuk berundur.

“Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Datuk Seri Najib (Razak), apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya.

Selain itu, tambah Ahmad Zahid, kebertanggungjawaban terhadap prestasi parti yang lemah sewaktu PRN bukan hanya terletak di bahu beliau semata-mata, tetapi juga kepimpinan UMNO yang lain.

“Walaupun saya bertanggungjawab di atas keputusan pilihan raya, seperti yang (Datuk Seri) Johari (Abdul Ghani) tegaskan, ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan UMNO,” katanya.

UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) memperlihatkan keputusan yang teruk dalam pilihan raya di enam negeri pada Sabtu apabila ia hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya.

UMNO juga kehilangan semua kerusi yang ditandinginya di Terengganu dan Kedah, dan hanya menang dua di Pulau Pinang dan Selangor, serta satu di Kelantan, walaupun mengekalkan rekod yang baik di Negeri Sembilan dengan 14 kerusi.

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button