Celoteh

Buanglah sifat iri dalam diri tu

Norliza Abd. Rahman

ADA satu sifat dalam diri Mak Teh yang mungkin tidak ada pada orang lain, kalau ada pun tak ramai agaknya. Nak cerita pun malu tapi tidak salah jika Mak Teh berkongsi rasa dengan kalian.

Benda baik bukan benda buruk pun, ianya mengenai betapa murahnya air mata Mak Teh tiap kali melihat perkongsian rakan-rakan mengenai kejayaan anak mereka sama ada dalam pelajaran, pekerjaan atau apa sahaja waima anak mereka lulus ujian memandu dan memiliki lesen L.

Bagi Mak Teh ia adalah satu bentuk perkongsian yang harus diraikan dan disyukuri. Bukan senang nak melakar kejayaan lebih-lebih lagi ia melibatkan anak-anak kecil dan yang baru meningkat remaja. Sudah tentu menjadi kebanggaan untuk diri mereka sendiri dan keluarga.

Namun luahan hati seorang sahabat yang terkilan dengan cakap belakang orang-orang yang iri hati dengan perkongsian dia tentang kejayaan anaknya di media sosial benar-benar menyentuh hati Mak Teh.

Baru aje minggu lepas Mak Teh menulis tentang seorang rakan yang bengang bila ‘posting’ pasal juadah minum petang diragui pujian terhadapnya.

Kesian sangat sahabat Mak Teh tu, dia sekeluarga amat gembira dengan kejayaan anaknya meraih anugerah cemerlang di sekolah tapi ada orang cakap belakang dan perkara itu sampai ke pengetahuannya.

Begitulah mulut manusia, orang pandai pun salah, orang bodoh pun salah… tak bernanah pun jari tu kalau ucap tahniah pada kawan yang berjaya mendidik anak sehingga berjaya menggenggam sekeping sijil dan menerima pingat dari pihak sekolah. Kejayaan anak adalah kejayaan ibu bapa juga.

Mak Teh boleh menitik air mata bila datang ke majlis penyampaian hadiah di sekolah tau. Walaupun bukan anak Mak Teh yang naik pentas bila pengacara majlis umumkan nama dan disambut tepukan gemuruh seisi dewan. Aura kejayaan itu seharusnya diraikan bersama bukannya diirihatikan.

Tapi ia tak bermaksud Mak Teh akan banding-bandingkan kejayaan anak orang lain tu dengan anak-anak sendiri, kang tak pasal-pasal dia orang merajuk pula sebab ingat kita melebih-lebihkan anak orang lain.

Begitulah lumrah manusia, bila kita puji anak kita dikatanya nak menunjuk walhal kita cuma menghargai jerih perih si anak yang bersusah payah untuk melakar sebuah kejayaan dan kesungguhan dia untuk melakukan yang terbaik dalam dirinya.

Dalam hidup ni lebih tenang rasanya bila kita sentiasa positif, kalau dok sakit hati, iri hati, dengki dengan orang lain sampai tulis kat media sosial dengan nada menyindir kononnya bukan tuju pada sesiapa tapi niat dihati adalah sebaliknya.

Bagi Mak Teh orang macam ni membesar dalam keluarga yang tidak bahagia dan kurang kasih sayang sebab tulah sentiasa melihat kebahagiaan orang lain sebagai sesuatu yang menyakitkan hati dia. Orang macam ni memang susah nak ubat penyakitnya melainkan dia muhasabah diri, bersihkan jiwa dan setiasa ingat pada Allah.

Baiklah jom kita masuk dapur, minggu ni anak Mak Teh ‘request’ nak makan masak lemak udang nanas oren. Oren? Ya oren sebab warna kuahnya memang oren. Bukan sebab letak buah oren atau kordial oren tau.

Masak lemak udang nanas oren Mak Teh tak guna bawang merah tapi bawang putih sahaja. Juga tak guna cili padi atau lada merah tapi cili kering. Sebab itulah warna kuahnya akan oren. Cubalah… memang sedap tau.

Bahan-bahannya

15 ekor udang saiz sederhana
1/2 biji nanas
3 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
2 inci kunyit hidup
Sehelai daun kunyit
2 cawan air
1 kotak santan kecil
Garam
Gula
Perasa jika suka

Cara-caranya

Kisar halus bawang putih, cili kering , kunyit hidup, secawan air dan masukkan dalam periuk bersama secawan lagi air. Biarkan sehingga menggelegak dan masukkan nanas. Selepas itu masukkan santan, udang, daun kunyit, garam, gula dan perasa. Sedia untuk dihidangkan. – SM

(Visited 491 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button