CelotehRencah Hidup

Agar-agar pandan bersantan, Mak Teh tak puja anak jantan!

IBU bapa zaman sekarang mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Kemahiran keibubapaan mudah diperoleh melalui ceramah pakar motivasi dan penceramah agama.

Namun tidak semua dapat kita terapkan dalam mendidik anak sendiri. Dalam hal ini kita kena memiliki keupayaan tersendiri untuk berdepan dengan kerenah anak-anak.

Almaklum setiap anak mempunyai sifat yang berlainan dan sudah tentu untuk mendidik mereka, kita perlu ada pelbagai cara untuk mendekati mereka.

Lebih-lebih lagi kalau nak suruh anak lelaki membantu melakukan kerja-kerja di rumah. Anak jantan buat kerja rumah? Haaaa… bunyinya agak susah dan memang susah pun sebenarnya kalau tak kena cara.

Mereka bukan macam anak perempuan yang boleh kita arah buat itu, buat ini sesuka hati. Sebagai contoh, Mak Teh nak suruh anak bujang berusia 23  dan 20 tahun sental bilik air dan kemas katil tidur.

Agak-agak senang ke susah nak minta mereka buat dua perkara yang sangat sinonim dengan tugasan orang perempuan ni? Cer jawab!

Mak Teh mengaku nak arah anak-anak lelaki Mak Teh sendiri pun bukannya senang. Paling bengang bila dia orang buat bodoh je dan tak layan arahan kita.

Maka mendidihlah darah Mak Teh dan berlaku pertengkaran mulut dengan anak-anak sebab ingkar arahan (wah! Macam bunyi ayat Menteri Kanan Pertahanan pulak ek). Tapi Mak Teh tak putus asa, cuba juga pujuk mereka cuci bilik air masing-masing.

Mak Teh kata, “kalau lantai licin mudah jatuh, mangkuk tandas yang ‘berkarah’ kena cuci selalu dan dinding kesan sabun mandi nampak bercapuk-capuk, kenalah dibersihkan.”

Paling haru kalau tetamu datang nak tumpang tandas tapi tandas kotor dan berbau. Masa tu, mana nak letak muka anak oii?

Mak Teh ajar gini kat anak-anak… basahkan aje lantai… simbah pencuci dan biarkan sekejap. Lepas 10 minit sental je dengan berus.

Mangkuk tandas tu tonyoh-tonyoh sampai putih. Untuk dinding bilik air, Mak Teh cakap: “sambil-sambil mandi, kau gonyoh je dengan span keras. Alah nak cuci dinding ni bukan guna kudrat macam kena cangkul tanah.”

Maka selesailah urusan mencuci dua bilik air. Memanglah kalau bilik air kita bersih bukan ada yang akan bagi hadiah tapi orang tua-tua kata, nak tahu orang tu pembersih ke pengotor – tengok bilik air mereka.

Sebab itulah orang dulu-dulu kalau bertandang ke rumah orang, suka benau nak tumpang tandas. Rupa-rupanya begitulah cara mereka hendak melihat tahap kebersihan seseorang.

Kemas katil PKPB

Bab kemas katil tidur pula. Waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memang susahlah sebab anak-anak banyak menghabiskan masa dalam bilik.

Kemas tak sampai separuh hari lepas tu mesti ‘keromot’ balik cadar.  Al-maklum kelas dalam talian mestilah akan ‘landing’ atas katilkan. Tapi Mak Teh tetap ajar mereka cara kemas bilik.

Mak Teh akan pesan pada mereka, “walaupun kau orang lelaki, bilik air, katil, bilik tidur tetap kena kemas. Lepas kahwin nanti jangan sampai semua benda nak suruh bini kau buat. Kalau sama-sama bekerja, tugas dan tanggungjawab tetap kena pikul bersama.”

Bagi Mak Teh, sekecil-kecil perkara boleh mengganggu emosi penghuni kalau tiada tolak ansur, budi bicara dan berbahagi tugas. Pendek kata, setiap kerja rumah adalah tanggungjawab bersama.

Belum lagi bab mengemas rumah, mencuci kain baju, menyidai baju, mengangkat pakaian dijemuran, melipat baju, cuci pinggan mangkuk, sinki dapur, menyapu lantai, mengemop, vakum karpet, buang sampah… haaa panjangkan senarai Mak Teh.

Jap, ada lagi… mengemas meja makan, hidang makanan, memasak, menyiram pokok, bersihkan halaman rumah, mesin rumput, lap tingkap, buang habuk dan bermacam-macam lagi urusan rumah tangga yang ada.

Mahfumnya, sebagai ibu bapa, kita kena terapkan dalam minda anak-anak bahawa kebersihan itu bukan terletak pada ibu atau anak perempuan semata-mata.

Masing-masing kena jadikannya sebagai rutin harian. Barulah tak ada yang mengelat bila kena suruh buat kerja rumah.

Kalau tidak 100 peratus, 50 peratus pun sudah cukup baik anak-anak nak buat. Dalam hal ini suami kenalah sama-sama mainkan peranan didik anak tu.

Ok, cukuplah celoteh pasal bab kemas rumah. Kang kau orang boring pula nak baca. Mak-mak zaman sekarang, bukan macam mak kita dulu-dulu. Silap sikit dia punya bebelan, Mak Teh pun rasa macam nak lari dari rumah tau.

Agar-agar pandan bersantan penangan Mak Teh

Jomlah kita masuk dapur masak agar-agar pandan bersantan. Boleh buat  hidangan minum petang hari ini. Bahan-bahan pun mudah dan cepat dimasak.

Sepeket agar-agar tali

1 cawan gula pasir (boleh tambah kalau suka manis)

1 liter air

7 helai daun pandan

Secawan air (untuk kisar daun pandan)

1 kotak kecil santan

Sebiji telur

Secubit garam

Pewarna hijau

Cara masak

Kisar daun pandan bersama secawan air dan tapis airnya.

Masak agar-agar bersama 1 liter air dan gula pasir sehingga larut.

Masukan air pandan bersama santan, sebiji telur dan secubit garam yang sudah dikacau rata ke dalam agar-agar.

Biarkan sehingga mendidih dan kacau selalu (ini penting untuk dapatkan lapisan atas yang cantik) tutup api dan masukkan ke dalam acuan. Biarkan sejuk.

Siap semuanya, sudah boleh hidang nanti. Pesanan Mak Teh, kita duduk rumahlah ya kalau tidak ada urusan penting untuk keluar. Selamat bersantai di hujung minggu. – SM

 

 

(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button