Nasional

Beri nafas baharu dalam pembelajaran, pengajaran bahasa Melayu – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu perlu diberi nafas baharu seiring dengan perkembangan dunia semasa.

Baginda bertitah, proses pembelajaran dan pengajaran juga perlu ditambah nilai dengan teknik-teknik atau aktiviti yang mampu menarik minat para pelajar untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu.

“Sebagai contoh, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini seperti video, podcast, dan gamifikasi dapat menarik minat pelajar khususnya generasi muda untuk mendekati bahasa ini sekaligus usaha ini dapat meningkatkan literasi digital para pelajar,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Program Semarak Bahasa anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Muslim Wittaya Phuket School, Phuket, Thailand.

Tuanku Syed Faizuddin yang mengetuai program Ziarah Mahabbah MAIPs bersama 35 delegasi ke Wilayah Phuket dari 5 hingga 7 Ogos juga diiringi oleh anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.


Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Rektor UiTM Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, program pembelajaran ini sudah tentu tidak dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sokongan daripada pelbagai sudut.

“Ini termasuklah pihak Majlis Agama Islam Phuket,  MAIPs, dan Pengurusan Tertinggi Muslim Wittaya Phuket School,” titah Baginda.

Beliau berharap kerjasama ini terus berjaya dan diberkati supaya dapat sama-sama mengangkat martabat bahasa yang pernah suatu masa dahulu menjadi lingua franca.

“Semoga kerjasama antara Malaysia dan Thailand dapat diteruskan dan dipertingkat lagi pada masa hadapan dengan pelbagai idea yang lebih kreatif lagi dan tindakan yang lebih proaktif supaya dapat memberikan impak yang tinggi dalam pembangunan masyarakat, budaya dan sosial antara kedua negara,” titah Baginda.

Sementara itu, Shukor Sanim berkata, pihaknya melakukan kaedah pengajaran secara literasi digital sesuai dengan keperluan semasa.

Selain itu, katanya bagi menarik minat penguasaan bahasa ini bentuk pengajaran juga dikaitkan dengan alam sekitar.

Beliau berkata, empat tenaga pengajar UiTM terbabit dalam program yang melibatkan 50 pelajar Sekolah Agama Wittaya Phuket yang berumur 17 tahun.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan menyampaikan bantuan RM5,500 dan plaka tanda lawatan ke sekolah tersebut.

Beberapa pelajar sekolah tersebut juga menunjukkan kebolehan berbahasa Melayu menerusi deklamasi puisi dan nyanyian nasyid secara solo dan berkumpulan. – SM

(Visited 27 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button