fbpx
Ekonomi

Belanjawan 2021 boleh diluluskan jika ketepi perbezaan politik

Unity Budget atau Belanjawan Perpaduan yang hangat diperkatakan pada ketika ini boleh dicapai sekiranya nilai tambah daripada parti-parti politik diambil kira dan dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata cadangan atau syor kesemua parti politik perlu diberi pertimbangan supaya masing-masing boleh memberi sokongan penuh ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov nanti.

“Dalam keadaan sekarang, bukan masanya untuk menuding jari dan tentukan sama ada ‘lemahkah kerajaan, kuatkah pembangkang’ atau pertembungan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tetapi ‘perjanjian pemimpin-rakyat’ perlu dijadikan rujukan.

“Ini bagi memastikan masing-masing boleh ketepikan perbezaan fahaman politik untuk membolehkan bersama dalam krisis nasional dan Belanjawan 2021, yang membawa kepada Belanjawan Perpaduan Covid-19 serta perpaduan dalam kalangan pemimpin politik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas mengenai cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh PN dan PH kepada Kementerian Kewangan, Sivamurugan berkata ia adalah rasional dan praktikal serta wajar diberi perhatian.


Menurut beliau, cadangan yang dikemukakan boleh diperhalusi ketika perbahasan dan diberi penambahbaikan kerana agenda utama adalah rakyat dalam pelbagai kumpulan sasar.

“Belanjawan 2021 ini boleh mencipta sejarah diterima oleh semua jika penerimaannya diberikan keutamaan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dengan mengenepikan perbezaan, pemimpin sudah menunjukkan keupayaan bergerak ke arah politik matang dan berhemah. Ini juga membantu mengikis imej negatif tokoh-tokoh politik kebelakangan ini,” katanya.

Pensyarah Kanan dan Penyelidik Geo-Politik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata Belanjawan Perpaduan perlu memperlihatkan kerjasama kerajaan dan pembangkang untuk memastikan kebajikan, kesihatan rakyat dan pembangunan masa depan negara sentiasa berada pada landasan tepat.

Unity Budget ini juga adalah satu cara ahli-ahli parlimen untuk menyahut seruan titah Seri Paduka Baginda.

“Peluang diberikan oleh kerajaan terhadap pembangkang dan ketua-ketua (parti) politik dalam menambah baik Belanjawan 2021 memberi gambaran bahawa sikap terbuka dan berlapang dada semua pihak dapat membantu merealisasikan semua bentuk usaha membantu negara serta rakyat,” katanya.

Beliau juga yakin cadangan daripada pihak pembangkang dapat mengimbangi keperluan semua pihak tanpa mengira latar belakang ekonomi dan fahaman politik.

“Cadangan PN dan PH lebih menjurus kepada usaha membantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19, misalnya cadangan membenarkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dari akaun 1 dan juga usaha memastikan pelan rangsangan ekonomi sara diri khususnya peniaga kecil dan pencari kerja (termasuk yang baharu diberhentikan kerja) dapat menjadi nadi kepada usaha membantu rakyat secara kumulatif,” katanya.

Syahruddin berkata Belanjawan Perpaduan itu juga perlu mewujudkan situasi ‘menang-menang’ buat semua pihak (rakyat, peniaga dan sebagainya) dan pada masa sama berlakunya unjuran luar jangka secara berterusan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Belanjawan Perpaduan ini juga perlu memiliki ciri-ciri lestari dan mapan yakni boleh diubahsuai dan ditambah baik bagi tahun-tahun akan datang demi memulihkan ekonomi mikro dan makro negara yang sememangnya terkesan teruk setakat ini,” katanya.

Geostrategis dan Penganalis Politik, Azmi Hassan pula berkata dalam keadaan negara masih berdepan cabaran COVID-19, ahli politik juga perlu akur bahawa tidak semua saranan mereka dimasukkan dalam Belanjawan 2021 kerana kekangan masa dan implikasi kewangan.

Namun, beliau berkata yang penting penilaian dibuat kepada niat ahli politik mengemukakan cadangan demi kebaikan rakyat serta negara, contohnya UMNO yang tampil dengan 130 cadangan manakala PH pula dengan enam cadangan utama mereka.

“Sama ada kerajaan menerima kesemua atau sebahagian cadangan, semua pihak telah memberi komitmen mereka untuk menambah baik Belanjawan 2021.

“Sebarang keputusan kerajaan mengenai cadangan dikemukakan, Belanjawan 2021 sebenarnya sudah boleh dipanggil ‘Belanjawan Perpaduan’ sesuatu yang unik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga secara global,” katanya.

Pada 28 Okt lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh Covid-19.

Pada 31 Okt lepas, Perdana Menteri turut mengajak semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan politik bagi menyokong Belanjawan 2021 kerana pelbagai peruntukan disediakan dalam menghadapi Covid-19 demi kepentingan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membolehkan belanjawan yang akan dibentang itu diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – BERNAMA

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button