NasionalNegeri

Bekas Pengarah Kesihatan Perlis hargai pasukannya mantap kawal Covid-19

Pelbagai pengalaman telah dilalui sepanjang menangani krisis kesihatan berupa pandemik Covid-19 oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim ketika berkhidmat di negeri Perlis sejak 7 Ogos 2018.

Ketika tempat-tempat lain bergelut dengan peningkatan kes dan kematian C0vid-19 semasa gelombang Delta, negeri ini berjaya mengekalkan jumlah kes yang rendah dan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang stabil.

Kejayaan ini merupakan hasil daripada tindakan kesihatan awam Jabatan Kesihatan Negeri di bawah kepimpinan beliau yang strategik dengan kerja berpasukan anggota kesihatan di semua peringkat.

Penilaian risiko dilakukan secara sistematik dan berterusan memberikan analisa data yang khusus kepada punca penularan di dan seterusnya membantu anggota barisan hadapan untuk bertindak pantas.

Demikian dimaklumkan selepas ‘Program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli’ sempena perpisahan Dr Sirajuddin, yang telah dinaikkan pangkat ke JUSA B dan bertukar ke Perak berkuatkuasa pada 25 Julai 2022.


Di majlis tersebut Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 asnaf terpilih untuk diagihkan oleh amil kariah Masjid Kampung Masjid Kota Kayang.

Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Strategi pengawalan dan pencegahan diubahsuai mengikut dapatan data tersebut walaupun ada ketikanya kelihatan seperti melawan arus berbanding tempat lain, namun membuahkan formula kejayaan.

Ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), negeri Perlis sangat tegas terhadap kemasukan individu dari luar yang berisiko dan mengarahkan proses kuarantin bagi memastikan risiko penularan Covid-19 kepada rakyat Perlis kekal rendah.

Apabila negara memasuki Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), penguatkuatkuasaan dijalankan dengan menyeluruh bagi memastikan pematuhan SOP walaupun telah terdapat kelonggaran dalam beberapa aspek.

Bila mana telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pula, Jabatan Kesihatan terus komited dan memperkasakan komuniti untuk turut sama mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi SOP bagi mengekang COVID-19.

Di samping itu, kerjasama dengan rakan strategik lain dengan ‘Whole Government Approach (WGA)’ memastikan kelestarian kejayaan dalam menangani COVID-19.

Dr Sirajuddin dalam ucapan beliau memaklumkan bahawa sepanjang perkhidmatan yang telah melangkaui tempoh lebih 30 tahun, budi baik dan kemesraan rakan-rakan di Negeri Perlis menjadikan penghijrahannya pada kali ini begitu sukar dan amat berbeza sekali dengan pengalaman menerima amanah baru sebelum ini.

Segala titah pesanan Duli-Duli Tuanku akan sentiasa tersemat di dalam hati sebagai inspirasi dan akan terus dijadikan pembakar semangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat dalam aspek kesihatan.

Beliau juga amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk berkhidmat di Negeri Perlis di bawah naungan Duli-Duli Tuanku yang amat prihatin dan penuh kasih sayang terhadap rakyat.

Turut diadakan pada malam sebelumnya pula ialah permainan bola sepak persahabatan di kalangan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan sebagai perpisahan kepada Dr Sirajuddin di Padang New Trafford Istana Arau yang disertai sama oleh Tuanku Raja Muda dan anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. – SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button