Nasional

Bajet 2023: Pembaharuan komprehensif bakal tangani ketirisan subsidi barangan keperluan

PEMBAHARUAN komprehensif bagi menangani ketirisan subsidi barangan keperluan, termasuk petrol dan diesel, akan dilaksanakan supaya kemudahan itu hanya dimanfaatkan rakyat Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah pembaharuan itu bertujuan mengelak bahan api bersubsidi terbabit digunakan oleh warga serta kenderaan asing dan diseludup ke luar negara atau disalahgunakan.

“Langkah sama akan turut diambil bagi memastikan minyak masak serta gas asli cecair (LPG) bersubsidi sampai kepada isi rumah miskin dan kuotanya tidak disalahgunakan oleh peniaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, bagi mengulas Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam Bajet 2023 yang bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, sebanyak RM55 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Mengulas lanjut, Alexander berkata, RM200 juta diperuntukkan bagi Program Penyeragaman Harga bertujuan menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang keperluan asas, agar rakyat di kawasan pedalaman serta pulau dapat menikmati kadar harga sama dengan pengguna di bandar.

 

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memperkasakan kempen kepenggunaan, khususnya berhubung hak pengguna dan menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam kepada pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan pula memaklumkan, Bajet 2023 akan meneruskan kesinambungan inisiatif keprihatinan kerajaan demi membantu Keluarga Malaysia menempuh pascapandemik COVID-19, sekali gus memacu sektor pengangkutan untuk kembali bangkit.

Menurut kementerian itu, subsidi RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar yang diteruskan tahun depan untuk manfaat penduduk di Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan komitmen kerajaan sejak 2007 menerusi syarikat penerbangan MASwings.

“Perkhidmatan itu akan dimanfaatkan penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak di mana pengangkutan udara merupakan mod pengangkutan utama bagi menghubungkan mereka dengan dunia luar,” menurut kenyataan itu.

Malah, kerajaan juga akan membina tanjakan kerusi roda di tujuh lapangan terbang di Sabah dan Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,300 komuniti orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan MASwings.

Selain itu, pemberian diskaun 50 peratus ke atas tambang pengangkutan awam kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kad pesara polis melalui inisiatif MyWira pula merupakan tanda penghargaan terhadap jasa serta sumbangan tidak ternilai anggota keselamatan. – SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button