Nasional

ATM buka hospital medan di Adiyaman bantu mangsa gempa bumi Turkiye

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan menematkan Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye dengan kapasiti 60 katil dan turut dilengkapi kemudahan bilik bedah, unit rawatan rapi (ICU), radiologi dan makmal untuk membantu mangsa gempa bumi di negara itu.

Selain itu hospital tersebut juga menyediakan sembilan kepakaran, iaitu perubatan primer, ortopedik, pembedahan, bius, ‘maxilo-facial’ (pembedahan menangani masalah muka, kepala, leher, rahang, sinus), obsterik dan ginekologi, pediatrik, oftalmologi (rawatan berkaitan mata) dan perubatan kecemasan.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan, memaklumkan hospital medan dibuka di bawah ‘Op Starlight’ itu berupaya memberi perkhidmatan rawatan kepada mangsa serta mempunyai kapasiti katil untuk mereka yang memerlukan rawatan lanjut.

Keseluruhan pengoperasian ‘Op Starlight’ diletakkan di bawah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom sebagai peneraju operasi dan akan berhubung rapat dengan perkhidmatan lain serta agensi dalam dan luar negara dalam melaksanakan misi.

“Keseluruhan operasi ini disertai 106 pegawai dan anggota ATM, diketuai Brig Jen Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai pemerintah. Mereka diterbangkan ke Turkiye melalui tiga fasa penghantaran bermula hari ini menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

“Hospital medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” kata kenyataan itu.

Katanya, ujuan utama pengoperasian hospital medan itu adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan.

“Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong Kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara itu yang berada dalam kesukaran ketika ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Awal pagi tadi, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyempurnakan Majlis Penghantaran Tim Op Starlight sesi pertama, membabitkan 36 pegawai dan anggota serta peralatan seberat 44 tan dari Pangkalan Udara Subang. – SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button