Nasional

Kes wanita maut dijerut, lelaki berusia 57 tahun ditahan bantu siasatan

SEORANG lelaki ditahan enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melibakan kes seorang wanita yang ditemukan maut dengan kesan jerut pada leher di sebuah rumah di Jalan Rekod, Kajang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 malam semalam.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan penemuan mayat yang dipercayai seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, terdapat kesan jerut pada bahagian leher mangsa.

“Mangsa telah dipercayai mati lebih dari 24 jam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Ikram Malaysia mengesahkan wanita yang maut itu ialah kakitangannya iaitu Nik Khatijah Nik Mud.

Menerusi satu kenyataan, Ikram Malaysia berkata, arwah berusia 32 tahun dan merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bekerja sebagai Pengurus Jabatan Advokasi. -SM

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button