Ekonomi

Anwar kesal isu moratorium pinjaman bersasar diabaikan Putrajaya

MORATORIUM yang berakhir hari ini, 30 September dan tidak akan dilanjutkan disifatkan sebagai satu keputusan yang dikesali oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, tindakan Putrajaya yang bertegas untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium pinjaman selama tiga bulan seperti yang digesa sebelum ini, amat dikesali.

Beliau berkata, moratorium yang diberikan itu tidak semestinya moratorium penuh namun bagi beliau, ia adalah suatu pengabaian tanggungjawab serius apabila Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mencaturkan moratorium bersasar.

“Kepimpinan yang ada pada hari ini juga lemah tatkala meletakkan para peminjam di bawah telunjuk institusi perbankan,” kata Anwar dalam satu kenyataannya, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman termasuk gadai janji dan sewa beli oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tempoh selama enam bulan, bermula pada 1 April lalu.

Penangguhan pembayaran balik pinjaman itu adalah langkah tambahan yang dilaksanakan oleh BNM untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan pada 18 Mac lalu, susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Anwar berkata, walaupun laporan bank menyatakan sebanyak 98 peratus atau 380,000 peminjam sudah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank namun ia seharusnya mengambil kira 8.3 juta pemimjam di seluruh negara.

Secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17 peratus daripada jumlah keseluruhan peminjam, katanya.

Angka ini, tambah beliau, tidak begitu meyakinkan dan ia mencerminkan betapa kerajaan dan bank masih belum memahami sentimen keseluruhan peminjam, ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Anwar menggesa Putrajaya agar segera mengkaji semula langkah tersebut selain melaksanakan moratorium pinjaman secara bersasar.

Katanya lagi, fokus perlu diberikan kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana .

“Kita belum nampak sebarang dampak atau kesan pemulihan terutamanya  dari aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau aliran masuk yang stabil kepada para pengusaha kecil di Malaysia,” katanya. – SM

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button