Berita

Annuar nafi fitnah Kit Siang, sedia lawan jika disaman

Bekas menteri Annuar Musa menafikan dakwaan dia memfitnah veteran DAP Lim Kit Siang apabila mengaitkannya dengan rusuhan kaum yang membawa maut pada 13 Mei 1969.

Penafian itu dibuat melalui surat undang-undang yang dikeluarkan oleh firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership semalam bagi pihak Annuar, sebagai jawapan kepada surat Lim bertarikh 10 Julai, yang menuntut permohonan maaf daripada Annuar.

“Berdasarkan semua premis itu, semua dakwaan dalam surat anda dinafikan.

“Kami diarahkan untuk memaklumkan kepada anda bahawa jika anak guam anda memutuskan untuk memfailkan sebarang tindakan undang-undang, kami mempunyai arahan untuk menerima perkhidmatan proses dan anak guam kami akan mempertahankannya dengan bersungguh-sungguh,” kata surat itu.

Dalam surat jawapan itu, Annuar turut menegaskan ucapannya pada 6 Julai lalu adalah “berdasarkan fakta, sah dan wajar serta tidak berniat jahat atau memfitnah.”

Menurut Annuar lagi, kedua-dua kandungan dan tajuk artikel Malaysiakini pada 6 Julai, di mana dia dilaporkan mengaitkan Lim dengan rusuhan 13 Mei, tidak mewakili niat atau maksud ucapannya, dan bahawa dia tidak menerbitkan atau menyebabkan artikel itu diterbitkan.

Pada 10 Julai, Lim melalui pasukan peguamnya, menyampaikan surat tuntutan kepada Annuar, yang kini ahli PAS, berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan rusuhan kaum.

Dalam surat itu, Lim menuntut penarikan balik kenyataan Annuar yang didakwa berunsur fitnah, permohonan maaf, dan sejumlah ganti rugi, yang perlu dipatuhi dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu.

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button