Politik

Annuar Musa cadang empat negeri utara bentuk zon ekonomi utama rentas sempadan negeri dan negara

KUALA LUMPUR – Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan empat negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis termasuk Perak untuk membentuk Muafakat Regional dengan label Zon Ekonomi Utara Malaysia (Zon Utama).

Kata Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, Zon Utama yang disarankan beliau itu melakar satu blueprint pembangunan bersepadu rentas sempadan (nasional dan antarabangsa ) yang baru melibatkan Kedah Kelantan Terengganu Perlis (Perak) serta mengambil kira potensi lima Wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Patani, Yala dan Satun dan Songkhla.

“Beberapa konsep pembangunan wilayah yang baru secara “luar kotak” boleh digarap bersama.

“Ramai yang terlepas pandang bahawa inilah wilayah-wilayah yang amat kaya sebenarnya , malah inilah wilayah yang membekal makanan, beras, air, sumber protein (ikan, daging, sayur, buah), bahan-bakar dan jana kuasa(tenaga hijau, petroleum dan gas) kepada negara,” kata Annuar dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu juga menyebut, tambahan pula kedudukan geo-politik dan perdagangan dunia masa kini boleh menjadikan Zon Utama ini cukup strategik, maju dan sejahtera

Jelas Annuar, antara bidang baru yang boleh disusun ialah industri berpaksikan pengangkutan darat, laut dan udara secara “out of the box”.

“Bidang lain meliputi industri berasaskan galian dan sumber asli, pelancongan, pendidikan, perubatan, seni budaya dan keagamaan.

“Zon Utama ini paling kaya dengan sumber-sumber ini.

“Apa yang diperlukan ialah cara pengolahan yang baru. Pelaksanaan berteraskan “private sector driven” dan tidak semata mata bergantung kepada sumber kerajaan,” syor Annuar.

Kata beliau, idea berkenaan baru dilontarkan kepada pimpinan Nasional dan Wilayah Selatan termasuk Gabenor Wilayah Selatan, sebagai initiatif awalan.

“Di Thailand sudah pun ada satu agensi khusus pembangunan lima wilayah berpusat di Yala.

“Pemimpin politik nasional sudah ada yang datang dari Wilayah Selatan, malah salah seorang dari Gabenor adalah Muslim yang mempunyai saudara mara di Malaysia.

“Kita sedar kerjasama yang melibatkan dua negara berjiran memerlukan dokongan kedua dua kerajaan pusat, namun tidak salah bagi pimpinan negeri Zon Ekonomi Utara Malaysia-Zone Utama memulakan initiatif kita sendiri.

“Jika tidak dipecahkan ruyungnya, mana kan dapat sagunya,” ujar Annuar lagi.

Sementara itu, beliau mengulas ramai pemimpin Kerajaan Pusat menghina dan kadang kala mengugut rakyat negeri-negeri utara semenanjung seperti Kedah Kelantan Terengganu dan Perlis.

“Mereka kaitkan dengan PAS, walhal ini adalah negeri-negeri yang diwarisi dari kepimpinan mereka sendiri berdekad lamanya.

“Malah sebagai negara yang mendukung konsep federalism, tanggungjawab memajukan negeri adalah tanggung jawab bersama negeri dan Pusat. Sebenarnya tanggungjawab Pusat lebih besar khususnya dalam banyak pembangunan strategik,” katanya.

Malah Annuar juga berkata, kemunduran negeri-negeri utara adalah kegagalan Kerajaan Pusat dalam menggarap model pembangunan wilayah yang betul dan berimbang di masa lalu.

“Namun Insya-Allah negeri-negeri utara yang rakyatnya begitu cekal lagi istiqamah memberi mandat pada PAS/PN akan muncul lebih baik kesejahteraan hidup rakyatnya dan kemajuan negerinya melalui acuan yang tersendiri. Yakin kita boleh,” seru beliau.

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button