Politik

‘Bila BN kena, terus kata bersalah, bila DAP, pendakwaan politik’

KETUA Penerangan UMNO Shahrir Hamdan menyindir pemimpin-pemimpin DAP seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan Setiausaha Agung parti itu didakwa melakukan rasuah.

Menurut Shahrir, bila ada kepimpinan Barisan Nasional didakwa di mahkamah terus dihukum bersalah walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan.

Namun apabila ada pemimpin DAP didakwa di mahkamah terus dilabel sebagai pendakwaan politik sedangkan perbicaraan belum lagi bermula.

Shahrir menasihatkan agar pemimpin DAP mencontohi Barisan Nasional yang menghormati institusi kehakiman dan membiarkan kebenaran ditegakkan di mahkamah.

“Kalau BN yang kena, laju bersorak dan ringan mulut terus hukum “bersalah”. Bila parti dia, belum dengar dakwaan, belum bicara, senang-senang cakap tiada bukti. Senang‐senang tuduh pendakwaan politik.

“Nak solidariti, silakan. Tiada siapa halang. Tetapi sepertimana BN menghormati institusi kehakiman, begitulah juga sewajarnya DAP dan Pakatan Harapan. Jika benar anda tidak bersalah, tegakkannya di mahkamah,” kata Shahrir.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Suapan itu balasan sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011.

Guan Eng, 59, bagaimanapun menjawab “tidak bersalah” dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, kira-kira jam 9.49 pagi.

Pemimpin DAP menyatakan solidariti mereka terhadap Guan Eng yang menyifatkan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bagan itu bermotifkan politik.

“Berani kerana benar! Kami akan terus bersama Saudara Lim Guan Eng,” kata bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching.

Guan Eng akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Khas Rasuah esok di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 10 Ogos depan dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.-SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button