Ekonomi

ANGKASA sokong Deklarasi Jordan pacu pertumbuhan koperasi

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyokong penuh Deklarasi Jordan yang telah  dibentangkan pada Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia dan Pasifik ke-11 pada 29 April 2024 sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan dan koperasi untuk membangunkan ekonomi koperasi yang inklusif dan mampan.

Persidangan tersebut telah berlangsung pada 28-30 April 2024 di Laut Mati, Jordan yang dihadiri oleh 15 orang delegasi Malaysia termasuk ANGKASA dan diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),  Datuk Ewon Benedick.

Deklarasi tersebut memperjelaskan komitmen dari Menteri yang menerajui sektor koperasi di rantau Asia Pasifik bagi mengadakan dialog konstruktif antara badan kerajaan dan koperasi, memperkukuh dasar-dasar yang menyokong gerakan koperasi, serta meningkatkan kesedaran tentang model perniagaan koperasi dan nilai-nilai yang dibawanya.

Inisiatif ini sejajar dengan peranan ANGKASA selaku badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan untuk meningkatkan sumbangan dan memperkukuh kelestarian gerakan koperasi di Malaysia.

Sokongan itu dinyatakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika Mesyuarat Anggota Lembaga ACO yang diadakan secara dalam Talian semalam.

Ewon menyokong Deklarasi Jordan sebagai satu langkah positif yang menyokong kesinambungan dan  pertumbuhan koperasi di negara ini.

Hal ini sejajar dengan matlamat Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi menerusi platform koperasi serta menyediakan ekosistem yang lebih mesra koperasi.

Antara pengisian penting di dalam deklarasi tersebut adalah memperkukuh dasar, rangka kerja undang-undang, dan strategi yang menyokong gerakan koperasi dan memudahkan integrasi ke dalam pelan pembangunan negara serta mengiktiraf koperasi sebagai platform berkesan dalam mencapai pertumbuhan negara yang inklusif dan mampan seiring dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Jelasnya, ini diperkuatkan lagi dengan pencapaian gerakan koperasi di mana sasaran kerajaan melihat koperasi menyumbang perolehan sebanyak RM60 Bilion pada tahun 2025 telah dicapai awal di mana sehingga Disember 2023, sejumlah RM64.5 Bilion disumbangkan oleh gerakan ini.

Deklarasi ini turut akan dilaksanakan dalam kalangan koperasi di bawah naungan ACO yang mana ianya mampu mendorong kerjasama serantau dan antarabangsa dalam kalangan kerajaan, koperasi, dan pihak berkepentingan lain untuk berkongsi amalan terbaik, bertukar pengetahuan dan pengalaman serta memupuk persekitaran yang
membolehkan ketahanan dan pertumbuhan koperasi di ASEAN diperhebat untuk dimanfaatkan oleh anggota dan masyarakat.

“Usaha ini juga dijalankan sebagai salah satu komitmen ANGKASA memperluas jaringan perdagangan dan meningkatkan keterlihatan produk dan perkhidmatan koperasi Malaysia di peringkat rantau ASEAN seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan bagi koperasi di negara ini.” Jelas Dr. Abdul Fattah. – SM

(Visited 14 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button