Ekonomi

Terengganu optimis Tahun Melawat Malaysia 2020 memberikan hasil positif kepada negeri

KUALA TERENGGANU, 28 Jan — Kerajaan Terengganu optimis promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 di negeri itu akan memberikan hasil positif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata Terengganu akan memfokuskan kedatangan lebih ramai pelancong dari Timur Tengah, benua Eropah, negara-negara Scandinavia, India, Jepun, Brunei, Singapura dan Thailand dalam rangka promosi itu.

“Pulau peranginan Terengganu akan mula dibuka untuk pelancong pada bulan depan dan kita berharap menjelang tempoh itu, penyakit Koronavirus ini akan pulih agar industri pelancongan tidak begitu terkesan dengannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan promosi tarikan pelancongan Terengganu untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke negeri itu seperti mengadakan Beautiful Terengganu Road Show ke negeri-negeri.

“Sepanjang cuti Tahun Baharu Cina ini juga, Terengganu menerima limpahan pelancong dalam negara yang datang untuk melihat jambatan angkat ´drawbridge´ dan melihat sendiri ´wajah baharu´ Pasar Besar Kedai Payang.

“Dengan strategi promosi yang bersepadu, teratur dan terancang, insyaallah industri pelancongan di Terengganu tetap mampu ´hidup´ walaupun kemungkinan berlaku kemerosotan pelancong dari China akibat wabak koronavirus itu,” katanya.

Sebanyak 26 acara utama dan 114 program berskala lebih kecil telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Terengganu 2020 untuk menggamit kedatangan pelancong pada tahun ini.

–BERNAMA

(Visited 300 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button