Berita

Ambil iktibar hari Tongkat Putih Sedunia – Raja Muda Perlis

‘Hari Tongkat Putih Sedunia’ yang disambut setiap tahun pada 15 Oktober diharap dapat menyuntik serta meningkatkan lagi kesedaran kepada orang awam supaya sentiasa bersikap prihatin terhadap golongan OKU buta atau cacat penglihatan termasuklah segala hak-hak mereka.

Difahamkan, kebanyakan punca masalah penglihatan boleh dicegah dan boleh dirawat jika faktor risiko kepada kebutaan dapat dikesan awal.

Oleh yang demikian, rakyat Perlis disarankan agar melakukan saringan penglihatan dan pemeriksaan mata menyeluruh secara berkala sekurang-kurangya sekali setahun di mana-mana klinik kesihatan kerajaan, swasta atau kedai yang mempunyai perkhidmatan saringan mata.

Pada masa yang sama, manfaatkanlah perkhidmatan ‘Jurupulih Cara Kerja’ di klinik-klinik kesihatan yang memberikan pelbagai latihan kepada mereka yang bermasalah penglihatan.

Selain daripada itu, dapatkanlah khidmat nasihat kepakaran yang disediakan di klinik mata Hospital Tuanku Fauziah (HTF) oleh para Pegawai Optometri dan Pakar Oftalmologi.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik ‘Hari Tongkat Putih Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring, Arau pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis Mohamad Hazam Ismail.

Sempena program yang disekalikan dengan penganjuran ‘MAIPs Peduli Kali Ke 50 bagi Tahun 2020’ tersebut, seramai tiga orang asnaf yang OKU Penglihatan serta tiga lagi asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda. Salah seorang yang menerima ialah mangsa banjir kilat yang melanda kawasan tersebut beberapa hari yang lalu.

Mohd Nazim memaklumkan bahawa pihak MAIPs telah melaksanakan kerjasama dengan pihak Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis bagi melaksanakan inisiatif Kelas Pembelajaran Al-Quran Braille di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail sejak tahun 2016 kepada golongan OKU Cacat Penglihatan di negeri ini.

MAIPs turut menyampaikan sumbangan set Al-Quran Braille Digital bagi memudahkan pengajaran kepada warga OKU Penglihatan. Naskhah Mushaf Albasirah ini diedarkan kepada para peserta kelas secara percuma dengan pembiayaan daripada MAIPs.

Selain itu turut disumbangkan ialah tongkat putih yang dilengkapi dengan peranti yang memberikan amaran kecemasan kepada pengguna OKU.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim pula mengulas bahawa, ‘Tinjauan Mata Negara (2014)’ mendapati bahawa sebanyak 272,000 rakyat Malaysia mengalami cacat penglihatan dan sebanyak 216,000 menjadi buta disebabkan oleh lambat melakukan “operation” membuang selaput (katarak).

Menurut beliau, di Malaysia, penyakit selaput mata (katarak) merupakan penyebab utama kebutaaan iaitu 58% diikuti oleh komplikasi akibat penyakit diabetis sebanyak 10% mengikut kajian yang sama.

Tambah Sirajuddin, kebutaan juga boleh disebabkan oleh keadaan semulajadi ketika lahir yang menyebabkan kerosakan pada saraf mata, penyakit genetik, proses penuaan, ketumbuhan, kanser, jangkitan atau kecederaan.

Berdasarkan kepada kajian, antara faktor risiko yang boleh menyebabkan kebutaan adalah rabun, jangkitan, mempunyai penyakit kencing manis atau darah tinggi selain pengambilan ubat-ubat yang menggangu fungsi mata.

(Visited 738 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button