fbpx
BeritaNasionalPolitik

Mampukah Utusan 2.0 bertahan?

BERITA Utusan Malaysia akan dilancarkan semula pada Februari tahun hadapan memberi sedikit keceriaan dalam kalangan bekas kakitangan Utusan walaupun belum pasti mereka akan diambil kembali.

Selepas diberhentikan tanpa sebarang pampasan dan tertunggak gaji dua bulan, majoriti kakitangan mengalami kemurungan serta hilang arah untuk memulakan kehidupan dan berita tersebut sedikit memberi keceriaan, walaupun masing-masing tidak mahu terlalu mengharap.

Para pembaca juga memberi respon yang positif kepada berita itu dengan komen-komen berharap Utusan akan kembali berperanan membawa suara rakyat dan mengkritik serta menegur kerajaan yang banyak bertindak semberono khususnya membabitkan kepentingan orang Melayu.

Perbuatan pemimpin kerajaan hari ini menyebabkan orang Melayu menjeruk hati, pada masa yang sama media yang ada hari ini sama ada dikawal oleh kerajaan atau terlalu memihak kepada pihak liberal dan pejuangan tegar hak asasi kemanusiaan semata-mata.

Dalam isu kepentingan Melayu, terutama Melayu yang berfikiran sederhana pandangan mereka langsung tidak diraikan. Pandangan yang diraikan adalah mereka yang ekstreme Melayu atau ekstreme liberal.


Katakanlah Utusan dibuka semula dengan sejumlah kecil bekas kakitangan asal, persoalannya mampukah akhbar berkenaan bertahan daripada terpaksa gulung tikar untuk pusingan kedua. Dengan dikelompokkan sekali dengan Media Prima kemungkinan besar Utusan akan menjadi pelapor dasar kerajaan dan akan membisu apabila dasar atau gelagat pemimpin kerajaan yang tidak digemari rakyat.

Jika ini berlaku keyakinan masyarakat terhadap media arus perdana akan terus terhakis dan mereka akan beralih kepada media sosial walaupun berita yang dipaparkan belum tentu kebenarannya tetapi dikira lebih memenuhi kehendak masyarakat.

Satu lagi kesilapan Utusan sebelum ini sering membuat laporan semborono sehingga terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan mahkamah yang akhirnya membunuh kredibiliti akhbar itu sebagai sumber yang sahih.

Editor yang tidak cukup matang dan tidak berpengetahuan khususnya berkaitan undang-undang fitnah dibiar berleluasa menulis tanpa kawalan sehingga menjejaskan reputasi Utusan.

Pengetahuan yang cetek juga menyebabkan tulisan yang diketengahkan jauh ketinggalan daripada tahap intelek majoriti masyarakat yang telah didedahkan dengan pelbagai disiplin dan ilmu yang tersebar di dalam dunia maya tanpa sempadan.

Sikap penulis yang lebih kepada menjadi armchair reporter menyebabkan tulisan mereka dangkal dan kadangkala sangat mudah dikesan ia tulisan yang dikitar semula sahaja atau disalin dari media sosial menyebabkan pembaca muak.

Penulis sendiri pula mengambil sikap memekakkan telinga dan membutakan mata apabila dikritik, sebaliknya mereka gemar untuk memaksa pembaca menelan pandangan yang berat sebelah serta tidak diperiksa fakta sebenarnya.

Penulis yang bagus tetapi tidak sehaluan pemikirannya dipinggirkan, sehingga menjadi penulisan di Utusan terlalu stereotype iaitu sebagai pengampu kerajaan ke tahap tidak masuk akal.

Fakta dan data boleh dilihat melalui respon pembaca di media sosial, tetapi editor memilih untuk mengabaikannya, dan terus syiok sendiri di dalam dunia sendiri.

Jika satu artikel hanya dibaca oleh 45 orang, sedang portal berita Utusan mempunyai lima juta pelayar, ia satu gambaran yang amat memalukan lagi menyedihkan. Ketika menjadi suara UMNO sendiri, Utusan tidak dibaca oleh 3 juta ahli parti itu kerana terlalu taksub melaporkan berita berkaitan tentang beberapa individu sahaja di dalam parti dan bukannya menjadi suara ahli serta orang Melayu keseluruhannya.

Pelabur baharu Utusan pasti memikirkan dan gusar dengan perkara yang sama iaitu tentang kemampuan kebangkitan dan survival dalam situasi semasa. Jika tersilap pasukan dan model perniagaan yang dipilih, jutaan ringgit akhirnya akan mengalir ke longkang dan Utusan akan gulung tikar untuk kali kedua.

Jika kelompok editor yang sama dipilih menerajui Utusan atas dasar simpati dan memberi peluang semata-mata mereka mengambil risiko yang sangat besar. Jika mengugurkan sebahagian besar editor yang tidak berkualiti ini pula akan dikatakan cuba membunuh roh Utusan. Dilema dan tanggapan sebegini akan terus mengganggu pengurusan baharu dalam membuat keputusan.

Mengikut sejarah Utusan bukan akhbar pertama yang cuba dihidupkan kembali, tetapi akhirnya terpaksa gulung tikar. Senarai yang panjang membuktikan jenama sesebuah akhbar belum tentu akan dapat memastikan tahap survivalnya. Ketika belum berlaku ledakan teknologi maklumat lagi akhbar satu demi satu terpaksa ditutup, apatah lagi dalam situasi hari ini.

Apatah lagi jika keadaan ekonomi negara tidak berubah terus berada dalam keadaan suram, syarikat akan mengurangkan bajet untuk pengiklanan, sedangkan inilah yang akan menjadi sumber utama akhbar menjana pendapatan.

Masyarakat pula jika terus terpaksa menjerat perut, pastinya mereka akan memilih berita yang diperolehi percuma, tanpa perlu membeli atau melanggan, walaupun tidak sahih kebenarannya.

Oleh itu Utusan baharu kelak perlu diterajui bukan sahaja oleh mereka yang bijak dari segi kandungan yang dipaparkan sahaja, tetapi harus kreatif dalam menjana pendapatan untuk memastikan kelansungan akhbar berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button