Nasional

MSDN ditubuhkan bagi tadbir urus sistem statistik negara

MAJLIS Statistik dan Data Negara (MSDN) telah mengadakan mesyuarat pertama di Putrajaya hari ini. Majlis ini bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat hari ini adalah DOSM diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik, Chief Data Officer (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap Kementerian/ Jabatan/ Agensi Persekutuan dan Negeri mulai tahun 2022 secara berperingkat dan pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

Tambahnya, data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara.

“Kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan. Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

“Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik,” katanya.

MSDN dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertindak sebagai Sekretariat.

Di samping itu, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.

Empat Kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif adalah seperti berikut:

  1. Kluster Ekonomi, Pertanian & Perindustrian yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI);
  2. Kluster Pendidikan, Sosial & Kependudukan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM);
  3. Kluster Kesejahteraan, Keselamatan & Kesihatan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF); dan
  4. Kluster Infrastruktur, Teknologi & Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ismail Sabri berkata, jawatankuasa Eksekutif ini berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

“Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.

“Bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/ Wilayah (MSDNgW) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” tambahnya.

Dalam pada itu, MSDN turut mengambil maklum bahawa DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi atau Fundamental Principle Official Statistics (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini bagi memastikan statistik rasmi adalah berwibawa dan berintegriti.

Penubuhan MSDN ini dihasratkan mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – SM

(Visited 379 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button