Ekonomi

Ringgit dibuka rendah pagi ini

RINGGIT meneruskan penyusutannya berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Khamis berikutan jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat akan datang pada awal Mei ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit yang mencecah paras terendah dalam tempoh 22 bulan pada akhir urus niaga Rabu, terus menyusut kepada 4.2830/2890 berbanding Dolar AS daripada 4.2800/2830, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangkakan diniagakan rendah hari ini ketika penggiat pasaran memberi tumpuan terhadap langkah Fed yang seterusnya.

“Malam ini, Pengerusi Fed Jerome Powell akan bercakap sebagai panelis pada seminar Tabung Kewangan Antarabangsa. Beliau mungkin memberi penekanan untuk menjelaskan pendirian Fed mengenai langkah mengetatkan lagi dasar monetari sedia ada.

“Selain itu, terdapat jangkaan bahawa kadar inflasi mungkin mencecah paras kemuncaknya tidak lama lagi, namun ini pun masih terlalu awal,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, gangguan bekalan akibat sekatan pergerakan di beberapa bahagian di China akan turut memberi tekanan harga dan menjejaskan aspek penghantaran penting di serata global.

“Ini ditambah pula dengan konflik ketenteraan berterusan Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga komoditi meningkat.

“Ringkasnya, pasaran pertukaran asing amat sensitif terhadap sebarang ketidaktentuan yang ketara. Berikutan itu, para penggiat pasaran akan mencari perlindungan dengan memilih mata wang selamat seperti Dolar AS,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding Yen Jepun kepada 3.3427/3476 daripada 3.3432/3458 pada hari Rabu dan meningkat berbanding Euro kepada 4.6415/6480 daripada 4.6468/6501 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia telah menyusut berbanding Dolar Singapura kepada 3.1380/1426 daripada penutup Rabu pada 3.1371/1398 dan susut berbanding Pound Britain kepada 5.5910/5989 daripada 5.5781/5820 sebelumnya. – SM

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button