Mahkamahpilihan

Ahli perniagaan didakwa 9 pertuduhan tipu Penjana Kerjaya 2.0

Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan penyalahgunaan wang bantuan Penjana Kerjaya 2.0 untuk kegunaan diri sendiri membabitkan nilai RM267,400.

Tertuduh, Mohd. Azmi Mat Sah, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh selaku pemilik DRAZZ Global Resources dengan niat untuk memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dia telah mengemukakan tiga nama individu berbeza dalam borang pengesahan pekerja yang bukan kakitangan syarikat berkenaan untuk menuntut insentif di bawah Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM13,200.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat DRAZZ Global Resources, Kompleks Perniagaan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Jun 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi pertuduhan keempat hingga kesembilan, tertuduh didakwa dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk diri sendiri melibatkan wang berjumlah RM254,200 yang merupakan wang bantuan Penjana Kerjaya 2.0.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Melaka Raya, Taman Melaka Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Ogos 2021 hingga 24 Februari 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman berat dikenakan dan mencadangkan jaminan RM50,000 berserta syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan RM30,000 dengan alasan anak guamnya masih menanggung isteri, menantu dan empat cucu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan. – SM

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button