NasionalpilihanUncategorized

Ambil rasuah saya akan tangkap – Ayob Khan

“Sebagai Ketua Polis Johor, dari hari pertama saya di Johor, saya sudah tegaskan isu integriti ini saya tidak akan bertolak ansur. Saya sudah cakap dari awal lagi, sebarang pelanggaran tatatertib, bersekongkol dengan elemen-elemen jenayah, saya akan tangkap.

Saya tidak akan mengambil tindakan di bawah siasatan dalaman. Saya tidak akan serahkan kepada Jabatan Integriti dan (Pematuhan) Standard yang biasa dibuat. Saya akan tangkap. Kalau ambil rasuah, saya akan  tangkap!,” tegas Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam wawancara dengan Bernama.

Beliau memulakan tugas di Kontinjen Johor sejak akhir Februari, tahun ini sedar tugas beliau di negeri berkenaan disertai dengan pelbagai pakej.

“Johor datang dengan pelbagai pakej”. Begitu jawapan Ayob Khan ketika ditanya mengenai cabaran beliau memimpin Kontinjen Johor dalam menjaga keamanan dan mengekang penularan pelbagai aktiviti jenayah di selatan tanah air.

Selain tugas hakiki beliau dalam menangani isu jenayah, beberapa isu yang menjadikan Johor “unik” dari segi cabaran yang dihadapi turut disentuh termasuk landskap geografi tersendiri berbanding negeri-negeri lain selain isu-isu yang turut berkait rapat dengan hubungan dua hala dengan dua negara jiran.

“Di Johor, kita ada kawasan persisiran pantai yang luas, keseluruhan Pantai Timur dan Pantai Barat saya rasa kita ada kira-kira 530 kilometer. Bila ada kawasan pantai yang luas, kita ada banyak isu. Isu penyeludupan manusia, penyeludupan barang-barang kontraban – rokok, arak dan sebagainya.

Selain itu, kita juga bersempadan dengan dua negara Indonesia dan Singapura, jadi adalah isu-isu berkaitan bilateral (hubungan dua hala) yang melibatkan Johor dan dua negara berkenaan,” kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Meskipun baru masuk bulan kelima beliau memegang jawatan itu, pelbagai pencapaian telah dicapai dengan yang terbesar sekali tertumpasnya sebuah rantaian sindiket penyeludupan migran asing “Geng Otong” di perairan Timur Johor.

Ia sekali gus membawa kepada pendakwaan terbesar dalam sejarah iaitu 51 anggota sindiket pada 2 Julai lepas.

Ketika ditanya apa strategi beliau dalam menangani isu yang sememangnya “berpuluh-puluh tahun” sukar dipatahkan, beliau bukan seorang yang suka mendabik dada dan tidak lupa mendedikasikan usaha dan kejayaan itu kepada seluruh anak buahnya terutama pegawai kanan — Ketua Jabatan Siasatan Jenayah  (Risikan/Operasi) Johor SAC Md Yusof Ahmad.

“Saya mempunyai satu pasukan yang amat mantap. Saya boleh katakan 95 peratus pegawai dan anggota saya berdedikasi, komited, berintegriti dan memberi sokongan padu kepada semua misi dan arahan-arahan yang saya berikan.

Satu contoh pegawai yang baik dan selalu saya jelaskan dan berkongsi dengan pihak media adalah SAC Md Yusof Ahmad.

Beliau seorang yang berpengalaman dan dalam konteks menangani isu-isu jenayah dan migran ni, beliaulah penggerak utama dalam negeri Johor dan dengan kepakaran dan komitmen beliau dan pegawai serta anggota bawahan, kita banyak melancarkan operasi-operasi ke atas migran,” kata ketua polis negeri berusia 54 tahun itu.

Tambahnya lagi, Polis Kontinjen Johor turut merintis “formula baru” dalam membanteras jenayah penyeludupan migran ini dengan memastikan siasatan ke atas keseluruhan rantaian sindiket mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang kini turut diikuti oleh negeri-negeri lain.

Anak kelahiran Pendang, Kedah itu, sememangnya wajah yang tidak asing lagi dan seringkali namanya meniti di bibir masyarakat terutama dengan ketegasannya dalam membasmi aktiviti jenayah dan yang lebih terserlah lagi bila menyentuh mengenai integriti kepolisian yang sangat dekat dengan hati beliau.

Ini dibuktikan dengan penahanan seramai 23 pegawai dan anggota penguat kuasa dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan migran di pantai timur Johor setakat 3 Julai lepas.

Aktiviti penyeludupan migran di Pantai Timur Johor iaitu merangkumi Daerah Mersing dan Kota Tinggi kini sudah 95 peratus berjaya dipatahkan.

Tumpuan beliau seterusnya adalah untuk memastikan usaha mengekang penyeludupan migran dapat dipatahkan di kawasan Pantai Barat Johor pula.

(Visited 522 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button