Nasionalpilihan

Ternak itik telur janji pulangan lumayan

Seorang lelaki tidak menyangka penternakan itik telur sekadar untuk mengisi masa lapang kini membuahkan hasil lumayan dan menjadi sumber pendapat menyara keluarganya.

Bagi Mohd. Shafie Md. Isa, 41, dia bermula dengan menternak 50 ekor itik telur kawasan rumahnya di Kampung Baru Bukit Sedanan, Selandar, dekat sini pada Jun 2019.

Katanya, pendapatan sampingan daripada penjualan telur itik mentah dan dibuat telur asin mendapat permintaan tinggi terutama daripada sebuah pasaraya milik seorang pelakon dan pengarah di Setiawangsa, Kuala lumpur.

Mohd. Shafie Md. Isa menunjukkan telur itik yang telah dibersihkan dan diasingkan untuk dijadikan telur asin atau pasaran biasa.

Ujarnya, melihat hasil pendapatan yang diperolehi cukup lumayan dan permintaan tinggi, dia menggunakan duit simpanannya untuk menambah kira-kira 1,700 ekor itik telur.

“Saya ambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai penyelia sebuah syarikat di Melaka dan mengusahakan ternakan itik telur.

“Tetapi disebabkan kurang pengetahuan saya mengalami kerugian ribuan ringgit apabila telur itik banyak yang rosak kerana saya tidak menyediakan reban.

“Tetapi mujurlah atas bantuan RM20,000 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), saya dapat membina empat reban dan mebeli peralatan lain,” ujarnya.

Mohd. Shafie berkata, dari 50 ekor itik telur hingga kini mencecah 2,800 ekor, secara purata antara 1,000 hingga 1,500 biji telur sehari mampu dihasilkan di kawasan seluas 0.4 hektar.

Dia yang menerima anugerah Peladang Jaya Harapan 2023 Jun lalu berkata, hasil jualan telur mentah dan telur asin mampu menjana pendapatan sekitar RM78,000 sebulan.

Dia kini menjadi pemborong dan pembekal telur itik mentah dan telur asin melalui syarikat milinya Shaeza Global Enterprise berkata, permintaan telur itik yang diusahakan mendapat permintaan tinggi untuk pasaran di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Alhamdulillah saya tidak sangka penternakan telur itik yang saya usahakan secara suka-suka kini menjadi sumber pendapatan keluarga.

“Saya juga berhajat untuk membesarkan kawasan penternakan untuk menambah bilangan itik telur kerana penghasilan telur tidak mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya yang kini menyertai usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka.

Katanya, pihak jabatan veterinar Jasin dan Melaka juga banyak membantu dari segi pemantauan ladang serta kesihatan ternakan dari masa kesemasa demi menjamin kualiti ternakan dan hasil telur berada pada tahap terbaik untuk dipasarkan.

Katanya, permintaan telur asin paling tinggi terutama bagi pemilik restoran asam pedas di negeri ini hingga dia terpaksa mendapat bekalan tambahan dari penternak lain. -SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button