Politik

MoU Kerajaan, pembangkang PH libat enam perkara

Kerajaan Persekutuan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan dan parti pembangkang, Pakatan Harapan hari ini.

MoU yang dimaktubkan merangkumi enam perkara iatu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, MoU tersebut membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

MoU berkenaan juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, transformasi yang diperkenalkan akan mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

Katanya, MoU itu juga memangkinkan iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi
yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

MoU itu disempurnakan oleh Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

MoU berkenaan diwakili oleh lima wakil kerajaan kerajaan iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala pembangkang PH di wakili oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook , Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.-SM

 

(Visited 496 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button