Politik

Ronnie mohon tamatkan keahlian dalam DAP

Pemimpin DAP, Ronnie Liu memohon untuk berhenti daripada parti tersebut selepas 41 tahun bersama, ia ekoran beberapa keputusan yang dilihat melanggar prinsip awal parti itu.

Menurut laporan sebuah portal, Liu yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menghantar surat kepada Setiausaha Agung parti, Anthony Loke untuk menamatkan keahliannya bersama DAP berkuat kuasa mulai 24 Jun.

“Saya melibatkan diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP sejak 1982.

“Namun selepas 41 tahun bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP,” katanya dalam surat itu menurut laporan FMT.

Beliau turut mengucapkan terima kasih mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan DAP atas segala peluang dan keyakinan diberikan kepadanya.

“Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisme demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Liu pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dari 2008 hingga 2013 sebelum berpindah dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek di Selangor pada 2018 hingga sekarang.

Beliau juga dilantik sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor.

Pada September lalu, Liu berkongsi rasa tidak puas hati terhadap pindaan perlembagaan parti yang membenarkan wakil rakyat tidak mengikut keputusan parti dalam isu asas akan kehilangan keahlian secara automatik.

Beliau berkata keputusan itu menunjukkan DAP mungkin tidak lagi demokratik, sambil menambah hanya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) boleh menyelamatkan parti itu daripada “menjadi entiti yang tidak demokratik”.

Liu juga menggesa UMNOsupaya melupakan pertelingkahan masa lalu dengan DAP dan bekerjasama demi negara.

Ini berlaku selepas Pemuda UMNO, semasa Perhimpunan Agung awal bulan ini, menuntut permohonan maaf daripada DAP atas tuduhan yang dilemparkan kepada parti itu ketika mereka seteru politik.

“Biarkan yang lalu menjadi yang lalu. Sekarang kita sama-sama rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan, mesti ada perpaduan dalam kalangan pemimpin parti dan akar umbi,” katanya.

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button