Politik

Semuanya hanya tentang kuasa, bukan tentang rakyat

JIKA dilihat senarai sebab yang ditulis oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kenapa UMNO marah semalam kita boleh buat kesimpulan bahawa semuanya berkaitan tentang kuasa.

Jika berdasarkan kepada huraian yang diberikan oleh Ahli Parlimen Pekan itu, ugutan UMNO untuk menarik diri daripada Pakatan Nasional (PN) lebih kepada rasa tidak puas hati mengenai jawatan dan pelantikan.

Hal tentang kuasa ini bukan sahaja berkait dengan tetapi juga Bersatu yang dilihat tidak mahu berkompromi dalam agihan jawatan-jawatan utama dalam Kabinet demi untuk mengekalkan cengkaman.

UMNO tidak puas hati kerana mendakwa mereka dipermain-mainkan, sementara Bersatu pula mahu  terus menguasai kedudukan dalam kerajaan dengan jawatan-jawatan kanan adalah milik mereka.

Ini termasuk kononnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dinamakan sebagai ‘pengganti’ untuk jawatan Perdana Menteri.

Begitu juga dengan jawatan seperti menteri ekonomi, menteri kewangan, menteri pendidikan, menteri dalam negeri semuanya milik Bersatu. Malah tidak ada jawatan timbalan perdana menteri diwujudkan bagi mengelakkan tuntutan oleh pihak tertentu.

Jika menurut senarai Najib itu, tidak ada seorang pun dari Pas dan UMNO yang dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid-19.

Dalam keadaan tidak ada satu parti pun yang memiliki majoriti membentuk kerajaan, hal-hal yang berkaitan untuk mengekalkan kuasa terus menjadi agenda mereka yang berada di pucuk pimpinan hingga mencetuskan pergolakan politik yang meresahkan rakyat.

Malah masalah politik kini telah menggelamkan pandemik Covid-19 yang sehingga semalam telah mencatatkan angka kematian bagi tiga hari berturut-turut di Sabah.

Malang bagi rakyat Sabah, sudahlah tidak ada portfolio yang berkaitan kesihatan, malah Ketua Menteri yang baharu dilantik pula terpaksa kuarantin selepas positif Covid-19 yang dijangkiti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru.

Sementara kes positif Covid-19 di seluruh masih tinggi dan rakyat pula terpaksa berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarata (PKPB) yang sudah tentu menjejaskan kehidupan mereka.

Masa untuk berniaga yang dihadkan sudah tentu akan memberi kesan kepada para peniaga yang ketika ini sudah ramai pun yang gulung tikar kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Semua ini meletihkan rakyat apabila melihat pemimpin ugut mengugut dan bermacam lagi tekanan yang berkaitan politik.

Untuk mengadakan satu laGi pilihan raya untuk  memilih kerajaan dalam maa terdekat ini sudah tentu merupakan pilihan yang sangat tidak bijak kerana kesannya boleh memusnahkan negara daripada segi ekonomi mahupun politik ekoran pandemik Covid-19.

Jadi dalam hal ini pemimpin bertindaklah dengan bijak. Jangan melakukan sesuatu kerana kepentingan kuasa semata-mata tanpa melihat kesannya kepada rakyat.

Hentikanlah permainan tarik tali dalam politik ini. Jika, UMNO benar-benar mahu tarik diri daripada PN, bertindaklah. Keluar segera. Tidak perlu main acah-acah tapi akhirnya tidak jadi apabila disogokkan dengan jawatan tertentu.

Ataupun kalau UMNO mahukan jawatan, cakap saja terus terang jawatan apa yang dimahukan supaya jelas bukannya berselindung di sebalik ungkapan retorik yang merimaskan.

Begitu juga dengan Bersatu, kalau merasakan sudah cukup kuat untuk memerintah negara, eloklah berdiri atas kaki sendiri tidak perlu membuli rakan-rakan lain dalam pakatan.

Dalam pakatan mesti ada keikhlasan dan kesungguhan untuk berpakat bukannya berpakat sekadar untuk mencapai kepentingan peribadi. Selepas dapat apa yang dikehendaki, rakan-rakan yang membantu untuk sama-sama naik di tekan supaya mengikut telunjukkan kumpulan tertentu.

Semua ini mencetuskan kemelut politik yang memualkan rakyat. Bukan ini yang dimahukan rakyat ketika turun mengundi pada pilihan raya umum 2018 lalu. Kemahuan mereka jelas melalui parti mana yang mendapat undi terbanyak dan kawasan terbanyak.

Tetapi seperti biasa para pemimpin kita hanya perlukan mandat rakyat untuk dapatkan kuasa. Selepas dapat kuasa mereka memanipulasi kuasa yang ada untuk kepentingan sendiri hingga kepentingan rakyat tidak lagi menjadi keutamaan.

Maka berlaku perebutan kuasa dan cubaan jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. Mereka mungkin tidak penat berpolitik, tetapi rakyat sudah letih dan muak terutama ketika hampir satu juga kini bakal terjerumus ke dalam jurang kemiskinan ekoran kehilangan kerja dan sebagainya. – SM

 

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button