Nasional

Agong perkenan Anwar menghadap Selasa depan

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan Presiden PRK Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadap.

Anwar berkata Al-Sultan Abdullah telah memperkenankan untuk beliau mengadap pada Selasa depan.

“Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya menghadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, Insya-Allah,” kata Anwar dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Anwar, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang beliau nyatakan sebelum ini.


“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Anwar.

Pada 23 September lalu Anwar mendakwa mempunyai majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Anwar dalam sidang media khas berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa, 22 September jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beberapa jam selepas pengumuman Anwar, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima maklumat terdapat ramai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan baharu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, UMNO dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN) sebaliknya sokongan kepada kerajaan PN hanyalah sokongan daripada ahli-ahli parlimen parti itu.
Namun, ahli-ahli parlimen UMNO yang dikaitkan memberi sokongan kepada Anwar menafikan perkara tersebut.
Yang di-Pertuan Agong dimasukkan ke IJN untuk menjalani rawatan keracunan makanan dan rawatan intervensi susulan pengimejan MRI pada 22 September menunjukkan kecederaan dialami oleh Al-Sultan Abdullah, yang dimaklumi aktif bersukan.-SM
(Visited 69 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button