Politik

Back up untuk Muhyiddin RM600 bilion ke laut, samar-samar – Isham Jalil

KETUA Penerangan UMNO, Isham Jalil mempunyai pandangan tersendiri tentang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan RM600 bilion.

Menurut catatan Isham yang merujuk kepada kisah semalam di mana bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin cuba back up boss dia berkenaan perbelanjaan RM600 billion semasa PKP dan darurat.

Namun menurut Isham, hujah bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin itu ke laut, samar-samar, dan memilih-milih fakta yang dicerita dan disorok.

“Pertama, dia kata dia tidak tahu dari manakah angka RM600 billion itu datang.

“Apa yang dia cuba sorok atau buat-buat tidak tahu ialah angka itu datang dari Muhyiddin sendiri ketika Muhyiddin adalah Perdana Menteri Ke-8.

“Muhyiddin berucap di hadapan masyarakat Sikh Malaysia pada April 2021 dan berkata kerajaan sudah tidak ada duit dan kerajaan sudah belanja lebih RM600 billion untuk “pakej-pakej rangsangan”,” kata Isham dalam perincinan beliau.

Persoalannya, kata Isham  lagi, ke manakah duit RM600 billion ini pergi dan bagaimanakah ia dibelanjakan?
Dan oleh kerana jumlah ini teramat besar, adakah perbelanjaannya itu telus dan tanpa ketirisan?.

Menurut Isham lagi, bekas Ketua Setiausaha Muhyiddin itu kata RM447 bilion adalah dalam bentuk non-fiskal iaitu bukan perbelanjaan kerajaan. Dan dia menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan seperti berikut:

  1. Duit pengeluaran KWSP: RM145 bilion
  2. Duit pengurangan bayaran KWSP: RM10 bilion
  3. Moratorium pinjaman bank: RM180 bilion

Jumlah di atas adalah RM335 billion. Oleh itu mana pergi lagi RM265 billion?

“Dia kata lagi ada perbelanjaan RM83 billion yang kononnya disalurkan terus kepada rakyat termasuk RM18 billion Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di atas dan Bantuan Prihatin Rakyat dan Subsidi Upah.

“Yang lain dia tidak senaraikan. Dia ambil contoh sahaja katanya,” bidas Isham.

Congak Isham lagi, “tolak jumlah ini, ada lagi RM182 billion yang dia tidak cakap pergi ke mana.

“Dan masalahnya bukan ini sahaja. Masalahnya adalah bagaimana wang-wang di atas dibelanjakan semasa darurat yang tidak ada semak-imbang dan semasa Parlimen ditutup?”

Kata Isham lagi, “contoh mudah ialah saya dimaklumkan bahawa Bantuan Prihatin Rakyat/Nasional berbillion-billion ringgit di atas adalah termasuk pemberian bakul-bakul makanan.

“Persoalannya berapa orangkah yang dapat bakul makanan ini? Dan berapakah nilai makanan yang rakyat dapat dalam bakul ini berbanding harga yang dicaj kepada kerajaan?

“Dan siapa yang dapat kontrak-kontrak pembekalan bakul-bakul ini? Adakah ia dibuat secara rundingan terus kepada kroni? Dan berapa margin yang buat daripada berbillion-billion dana ini?” ujar Isham.

Kata Isham, persoalan-persoalan di atas juga adalah sama berkenaan perolehan-perolehan kerajaan, kontrak-kontrak dan pembekalan barangan-barangan, peralatan serta perkhidmatan lain yang bernilai berbillion ringgit semasa darurat oleh pentadbiran Muhyiddin tanpa semak-imbang dan semasa Parlimen digantung.

“Ini perlu diperincikan untuk semak-imbang dan tadbir urus yang telus.

“RM600 billion ini adalah perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan ia dilakukan semasa Parlimen ditutup dan semasa darurat. Perbelanjaan sebesar ini tidak boleh disorok dibawah karpet dan berharap rakyat akan melupakannya.

“Jika kita serius untuk membendung rasuah dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam kerajaan, perbelanjaan RM600 billion semasa darurat ini perlu dilihat dengan lebih terperinci,” ujar Isham.

Kata beliau, “dan seperkara lagi, kita tidak mahu sebahagian daripada wang berbillion di atas digunakan untuk parti-parti politik tertentu berbelanja besar untuk pilihanraya yang lepas dan menang melalui merasuah dan membayar pengundi.

“Jika mereka menang kerana membayar pengundi dari duit yang diperoleh dari sumber-sumber haram seperti daripada komisyen atau rasuah kontrak-kontrak di atas maka kemenangan di kawasan-kawasan tersebut adalah tidak berkat kerana ia diperoleh dari sumber yang haram dan rasuah.

“Jika mereka kata mereka bersih, mereka perlu bersedia untuk disiasat dan diaudit berkenaan hal ini dan mereka perlu memberikan perincian berkenaan kesemua perbelanjaan-perbelanjaan RM600 billion tersebut.

“Sebab itu saya bersetuju supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini. Dan satu audit dijalankan segera untuk melihat perbelanjaan-perbelanjaan di atas dengan lebih terperinci.

“Perkara-perkara di atas perlu dibentangkan di Parlimen untuk semak-imbang dan untuk pengetahuan rakyat jelata untuk membendung rasuah dan politik wang dan untuk meningkatkan tadbir urus kewangan negara supaya menjadi lebih telus,” kata Isham. – SM

(Visited 700 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button