fbpx
Politik

ADUN Jeneri, Muhamad Sanusi ganti Mukhriz sebagai MB Kedah?

KHABAR angin kian bertiup kencang di Kedah bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri dari Pas, Muhamad Sanusi Md Nor bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dipercayai semua ADUN Pas dan UMNO dipercayai telah sepakat mencadangkan Muhamad Sanusi Md Nor sebagai bakal Menteri Besar Kedah.

Difahamkan, mereka kini di peringkat berunding dengan enam ADUN daripada Pakatan Harapan bagi mendapatkan persetujuan dan sokongan  sebelum nama calon Menteri Besar dipersembahkan kepada Sultan Kedah.

Portal Kedah Gazette melaporkan, sumber berkata, kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan yang diadakan di Kompleks Pas Kedah pagi ini.

Jika enam ADUN PH itu setuju bergabung dengan UMNO dan Pas maka mereka akan mewakili 23 kerusi daripada 36 kerusi DUN Kedah.


Jumlah itu mencukupi bagi membentuk kerajaan baru dan hanya kekurangan satu kerusi bagi membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

23 ADUN termasuk 4 dari Bersatu hilang keyakinan terhadap Mukhriz

Muhamad Sanusi yang merupakan ketua pembangkang DUN Kedah pada sidang akhbarnya sebentar tadi berkata, semua ADUN termasuk empat dari Bersatu dan dua dari bekas ADUN PKR telah menandatangani akuan berkanun bagi menyatakan hilang keyakinan mereka terhadap Mukhriz.

Menurutnya, akuan berkanun tersebut telah diserahkan kepada setiausaha kerajaan negeri untuk diserahkan kepada Istana Kedah ubagi mendapatkan perkenan Sultan Kedah.

Sebelum itu dilaporkan 17 Adun Pas dan UMNO  mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di sini.

Pertemuan tertutup itu berlangsung lebih tiga jam.

Ia bermula pada 10 pagi itu turut dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pas mempunyai 15 orang wakil dalam DUN Kedah dan UMNO hanya mempunyai dua orang. wakil rakyat PH, yang beralih sokongan pula adalah empat orang daripada Bersatu dan dua orang daripada PKR.

Dua wakil rakyat PKR itu iaitu ADUN Lunas Azman Nasrudin dan ADUN Sidam Dr. Robert Ling Kui Ee telah pun mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas hari ini.

Mereka bertindak meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. – SM

 

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button