Hiburan

Ada single Ahlan Ya Ramdan, jadi bilal sebati dalam diri – Ustaz Zoul

“TIDAK mungkin saya meninggalkan pekerjaan sebagai seorang bilal di masjid walaupun saya seorang penyanyi kerana ayah saya juga adalah seorang bilal.”

Demikian ungkapan yang keluar dari mulut Ustaz Zoul yang tampil sebagai tetamu dalam segmen Live Suara Merdeka hari ini.

Menurut Ustaz Zoul atau pemilik nama Hazizul Masdin, pekerjaan sebagai seorang bilal di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, sudah sebati dalam dirinya.

Akan tetapi, dalam keinginan hidup, beliau mengakui, sebelum mencapai umur 40 tahun, beliau mahu melahirkan sebuah single berkonsepkan nasyid.

Maka hari ini, ayah kepada lima orang cahaya mata ini bersyukur dan gembira kerana single pertamanya berjudul Ahlan Ya Ramadan menjadi realiti.


“Lama saya pendamkan single ini, lebih kurang empat tahun sehinggalah isteri bertanya, mengapa saya tidak lengkapkan sahaja proses rakamannya?

“Saya bersyukur kerana bertemu dengan ikon dalam genre nasyid kita, Daqmie (Azmee Abdul Manap) yang mana beliau bertindak sebagai komposer bagi single pertama ini,” ujar beliau.

Kata Ustaz Zoul lagi, selepas single Ahlan Ya Ramadan atau bermaksud, selamat datang Ramadan, beliau akan melahirkan single seterusnya.

“Lagu untuk single seterusnya memang ada dalam simpanan. Insya-Allah, kita tunggu sahaja. Ada rezeki, adalah single seterusnya,” katanya.

Kata Ustaz Zoul lagi, menggunakan pendekatan hiburan dalam menyebarkan dakwah dalam kalangan anak-anak masih berkesan.

Maka beliau akan terus menggunakan pendekatan tersebut di masa akan datang untuk mendekati dan menyantuni generasi muda. – SM

(Visited 18 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button