fbpx
Politik

‘Abang Jo mantap, mengarutlah 23 wakil PBB lompat’

DR. Jeniri Amir, penganalisis bebas yang menjurus hal ehwal politik Sarawak mengakui agak terkejut membawa tajuk “Politik Sarawak bergolak. 23 Wakil Rakyat PBB bakal lompat parti? disiarkan portal Suara Merdeka lima hari lalu.

“Ini satu berita baharu yang saya rasa tidak ada kebenaran. Ia suatu percubaan untuk memecahbelahkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tulang belakang Gabungan Parti Sarawak,” kata Jeniri kepada Suara Merdeka hari ini.

Kata Jeniri, sebaik sahaja disuakan khabar dikatakan “ seramai 13 ADUN dan enam Ahli Parlimen yang diketuai seorang pemimpin kanan parti PBB dijangka melompat untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, beliau dengan segera membuat risikan dari dalam dan luar PBB.

“Setahu saya Abang Jo (PresidenDr. Jeniri Amir PBB merangkap Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) telah mengumumkan banyak projek dengan peruntukan dalam dua bajet kerajaan negeri dalam dua tahun ini yang mencatat sejarah sekitar RM20 bilion.

“Beliau turut mengumumkan banyak projek yang perancangannya kesan berkenaan akan dapat dilihat dalam tahun-tahun mendatang ini, bukan dalam setahun dua ini…ya, bukannya kita umumkan bina jambatan, esok dan lusa siap terus.

“Sebab itu saya katakan tadi bahawa sebarang spekulasi menyatakan ada satu pertemuan sulit antara beberapa pemimpin dan wakil rakyat daripada PBB dan kepimpinan Bersatu Sarawak untuk menyertai Bersatu ia hanya permainan psikologi cubaan pihak tertentu untuk bertapak di Sarawak,” kata Jeniri lagi.

Bagaimanapun, Jeniri yang kini tidak lagi bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akur GPS akan berdepan cabaran besar menghadapi pembangkang khususnya Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 yang mandat kerajaan negeri dijadual berakhir pada Mei 2021.

“Senario politik sekarang sudah berubah tetapi saya masih menaruh keyakinan GPS akan mempertahankan mandat rakyat tetapi dengan majoriti yang berkurangan,” kata beliau.

Dalam pilihan raya negeri ke-11 pada 7 Mei 2016, Barisan Nasional Sarawak yang diketuai Tan Sri Adenan Satem (Allahyarham) menang besar menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Pembangkang pula hanya memenangi 10 kerusi yang ditandingi, dengan DAP menang tujuh daripadanya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertandng di 41 kerusi, hanya mampu mengekalkan tiga kerusi yang dimenanginya sebelum ini iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.

Empat lagi parti bertanding iaitu PAS, Parti Amanah Negara, Parti Reformasi Sarawak dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru gagal memenangi sebarang kerusi.

GPS diketuai PBB ditubuhkan pada 12 Jun 2018, sebulan selepas BN sebagai Kerajaan Persekutuan tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan komponen parti dari Sarawak yang turut terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). -SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!