fbpx
Politik

Pemilihan Bersatu: Muhyiddin dicabar Mukhriz untuk jawatan presiden

PETALING JAYA, 16 Mac — Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dicabar Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi mempertahankan jawatan itu dalam persaingan tiga penjuru pada pemilihan parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Tan Sri Syed Hamid Albar berkata seorang lagi calon bagi jawatan presiden ialah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Cheras, Mohd Faiz Azlee Sham.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding bagi jawatan pengerusi apabila menjadi satu-satunya calon untuk jawatan tersebut.

Syed Hamid berkata bagi jawatan timbalan presiden, ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Setiausaha Agung parti Datuk Marzuki Yahya, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Ketua Armada Selangor yang juga Ketua Armada Ampang, Anas Akashah Nazri.

“Borang pencalonan kesemua mereka yang bertanding, diterima sejak 10 pagi hingga 3 petang tadi dalam suasana yang aman dan lancar tanpa sebarang masalah serta gangguan,” kata Syed Hamid pada sidang media selepas selesai proses pencalonan bagi Pemilihan Bersatu di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.


Sebanyak 15 calon merebut tiga jawatan naib presiden antaranya penyandang Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang dicabar beberapa nama terkenal seperti Ketua Penerangan yang juga Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Exco Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen,

Bagi jawatan Ketua Armada, Syed Hamid berkata ia membabitkan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Exco Armada Muhammad Muzzammil Ismail dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan

Jawatan Ketua Srikandi pula menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan penyandangnya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dicabar Timbalan Ketua Penerangan Izza Ismail, Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas Azlina Mehtab Mohd Ishaq dan Ketua Srikandi Kuala Langat Zuhuraina Makmur.

Sementara itu, Syed Hamid turut menasihati calon yang bertanding supaya menjauhi politik wang ketika berkempen dan tidak menggunakan kedudukan serta wang untuk meraih undi.

“Kalau Lembaga Disiplin tengok ada bukti sahih salah guna kuasa dan beli undi, dia boleh hilang jawatan dan juga kedudukan dalam parti dan mungkin akan digantung, dibuang daripada parti,” katanya.

Ditanya mengenai kempen ketika isu COVID-19 yang menyaksikan perhimpunan melibatkan orang ramai disaran agar ditangguhkan, beliau berkata calon hendaklah mengikuti arahan yang telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

ROS dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua pertubuhan dilarang mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun, selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata setakat ini semua mesyuarat cawangan dan persidangan bahagian yang turut melibatkan proses pemilihan bagi jawatan tertinggi dalam parti mungkin ditangguhkan susulan arahan dikeluarkan ROS itu.

“Saya tengok surat ROS sahajalah. Saya tidak boleh tahu (sampai bila ia ditangguh dan akan diadakan). Pentadbiran (pimpinan tertinggi) akan buat keputusan,” katanya.

Mengikut jadual sebelum ini, persidangan Bersatu bahagian akan dijalankan serentak di seluruh negara pada 18 April dan turut berlangsung pemilihan kepimpinan parti di peringkat nasional, manakala persidangan Armada dan Srikandi bahagian dijadualkan pada 11 April bersama pemilihan kepimpinan kedua-dua sayap peringkat nasional.

Sementara itu, Syed Hamid yakin kelulusan Bersatu sebagai sebuah parti politik tidak akan dibatalkan walaupun arahan ROS itu akan menyebabkan parti tersebut melebihi tempoh yang ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat.

“Jika ROS mengeluarkannya, bermakna Bersatu tak boleh adakan mesyuarat, dah melepasi tempoh yang kita patut adakan mesyuarat. ROS ada kuasa untuk membuat keputusan yang muktamad. Parti boleh dibatalkan pendaftaran tetapi jika ROS membuat keputusan pada masa ini, bukanlah parti yang tidak mahu. Jadi tak fikir akan ada masalah,” katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button