Nasionalpilihan

Ab Rauf umum barisan Exco baharu dalam tempoh 48 jam

Pelantikan barisan 10 Exco kerajaan negeri yang baharu akan dibuat dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara itu berkata, barisan Exco baru perlu diumumkan segera bagi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri selepas beliau mengambil alih teraju kepimpinan daripada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Barisan Exco di bawah Sulaiman sebelum ini terbubar secara automatik dan barisan baharu akan dilantik secepat mungkin.

“Saya sedang membuat pertimbangan pelantikan 10 Exco baharu dan saya sudah mendapat ilham setakat ini,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 di pejabat Yang Dipertua Negeri (TYT) di sini hari ini.

Ditanya mengenai pelantikan Exco baharu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) Rauf berkata, beliau belum mendapat panduan dan perlu merujuk kepada pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.

Menurutnya, beliau perlu merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan hala tuju baharu berkaitan perkara tersebut.

Dalam pada itu Ab. Rauf menegaskan apa yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Sulaiman sebelum ini akan diteruskan serta penambahbaikan.

Beliau juga beriltizam untuk merancakkan ekonomi Melaka agar lebih cemerlang selepas ini.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Mohd. Ali Mohd.Rustam atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

“Jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid atas kepercayaan dan amanah yang diberikan.

“Saya berikrar akan melaksanakan dengan penuh taat setia dan saya juga rakam ucapan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri Ke-12, Sulaiman atas segala jasa beliau memimpin negeri ini,” ujarnya. – SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button