Nasional

Miliki, salah guna dadah, Niezam Zaidi didenda RM4,000

PELAKON Niezam Zaidi, 30, didenda RM4,000 atau penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan pada Oktober lalu.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari juga menjatuhkan hukuman terhadap pengarah filem, Mohd Latiff Zamri, 50 dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 48, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan.

Mohd Latiff didenda sebanyak Rm3,800 dan Saiful Zaidrin didenda sebanyak RM4,000 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, ketiga-tiga mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan.

Mahkamah turut memerintahkan Niezam dan Saiful Zaidrin menjalani pengawasan selama dua tahun manakala Mohd Latiff selama tiga tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mengikut pertuduhan pindaan yang dibacakan hari ini, Niezam didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram, Mohd Latiff memiliki 0.20 gram kanabis dan Saiful Zaidrin memiliki 0.03 gram methamphetamine di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, kira-kira pukul 7.15, 10 Oktober tahun lalu.

Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000.

Saiful Zaidrin pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama, di mana boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

Ketiga-tiga mereka juga mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis THC dan Methamphetamine ke dalam badan di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira jam 9.50 pagi pada hari sama.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952, di mana boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,00 dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguan Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). -SM

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button