fbpx
NasionalNegeri

Belanjawan 2021 Selangor tidak tingkat kuasa beli rakyat

BELANJAWAN Selangor 2021 yang dibentangkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari pada minggu lalu didakwa tidak membantu meningkatkan kuasa beli rakyat.

Malah, perancangan terhadap pemulihan ekonomi negeri juga dijadikan strategi yang terakhir dalam belanjawan tersebut.

Hal demikian didakwa tidak menunjukkan Belanjawan 2021 Selangor selari dengan penyelesaian krisis ekonomi yang berlaku termasuk tekanan dihadapi rakyat.

Kerajaan Negeri Selangor juga dilihat bersikap paranoia terhadap perbelanjaan defisit fiskal, sedangkan mereka sepatutnya perlu memastikan tiada pembaziran.

“Kita harus keluar daripada paranoia perbelanjaan defisit dan peningkatan rizab negeri, namun menjamin prinsip pemerintah yang baik dan tiada kebocoran serta pembaziran dalam perbelanjaan.


“Malah,  sebuah kerajaan negeri yang tidak mempunyai kuasa dalam mengurus dasar monetari dan tanggungjawab dalam pengurusan fiskal.

“Kerajaan negeri seharusnya memberi fokus kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pemerkasaan kuasa beli rakyat.

“Keutamaan juga tidak harus diberikan kepada kutipan hasil kerana penguncupan ekonomi tidak mungkin dapat mencapai sasaran hasil.

“Namun, kita harus menjana dan merancakkan pertumbuhan untuk menjamin peningkatan hasil yang mampan.”

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham ketika membahas Belanjawan 2021 Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Lantaran itu, beliau menolak belanjawan tersebut kerana tidak proaktif dan responsif terhadap tekanan ekonomi semasa dan penyelesaian kepada masalah rakyat.

Belanjawan Selangor bernilai RM2.323 bilion

Terdahulu,  Amirudin membentangkan belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2021 dengan memperuntukan sebanyak RM2.323 bilion.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.22 bilion atau 53 peratus diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus sementara RM1.103 bilion bagi pembangunan.

Dalam pembentangan itu juga, beliau mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji bagi penjawat awam di Selangor bergred 54 ke bawah.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman bagaimanapun mendakwa lagi, belanjawan tersebut tidak akan dapat mencapai matlamatnya walaupun Amirudin sebelum itu menyatakan kegusarannya terhadap krisis ekonomi dan tekanan dihadapi rakyat.

Tidak dapat mencapai matlamat

“Bagaimanapun, keyakinan rakyat terhadap kepedulian kerajaan negeri untuk menyelesaikan krisis ini meleset apabila melihat strategi belanjawan Selangor yang sama sekali tidak mencapai matlamat dan isu utama yang menjadi kekhuatiran kita.

“Saya tidak faham mengapa setelah kerajaan negeri menyatakan kegusaran terhadap krisis ekonomi yang berlaku.

“Tetapi, akhirnya meletakkan strategi pemulihan ekonomi sebagai strategi yang terakhir.

“Ini mencerminkan seolah-olah tidak ada simbiosis di antara permasalahan dan strategi penyelesaian yang dirangka oleh kerajaan negeri,” katanya.

Ujar beliau lagi, kerajaan tidak sepatutnya mengukur pencapaian ekonomi dengan pengurangan jumlah rizab negeri atau defisit.

Katanya, indikasi perlu dibuat berdasarkan jumlah peluang pekerjaan dicipta, peningkatan nilai kuasa beli rakyat, pemerkasaan rantaian nilai dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. – SM

(Visited 28 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button