Agama

Raja Muda Perlis doa umat Islam di Perlis, Malaysia, Thailand bersama cari solusi terbaik bantu pembangunan ummah

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menganjurkan ‘Seminar Ummatan Wahidah, Edisi ke-7’ pada sabtu, 30 Oktober 2021 ini bermula pada jam 9 malam secara dalam talian.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan titah perasmian program tahunan yang mendapat kerjasama Majlis-Majlis Agama Islam di 6 Wilayah Andaman, Thailand terdiri daripada Wilayah Satun, Trang, Krabi, Phuket, Phang Nga dan juga Ranong.

Ahli panel pada sesi yang julung kali diadakan secara digital ini ialah Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang akan berkongsi tajuk “Toleransi Islam Dalam Suasana Muslim Masa Kini” pada jam 9.15 malam. Ia akan disusuli oleh wakil dari Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand, Ustaz Abdullah Akem dengan tajuk “Risalah Islam Agama Rahmat” pada jam 9.50 malam yang akan disampaikan dalam bahasa Thai dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Moderator bagi kedua-dua slot ini ialah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs, Ustaz Mohd Rizal Azizan.

Orang ramai boleh melayari program ini menerusi livestreaming : Fb: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis-Jaips, Fb: Suara Sunnah Channel, Fb: Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis serta Fb: Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, program berkenaan amat signifikan dengan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang meminta agar seluruh umat Islam sentiasa saling kuat-menguati antara satu sama lain. Walaupun pelaksanaan program Ziarah Mahabbah tahunan MAIPs ke Wilayah Andaman pada tahun 2021 ini tidak dapat dilaksanakan secara fizikal ekoran kawalan pergerakan dan penutupan pintu sempadan antarabangsa Malaysia – Thailand akibat penularan Covid-19, namun Alhamdulillah beberapa siri program secara maya dapat dilaksanakan dengan jayanya, termasuklah Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Perlis – Andaman yang berlangsung pada 22 Ogos 2021 serta ‘Majlis mengadap hormat ke atas Tuanku Raja Muda Perlis oleh Yang DiPertua Majlis-Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman, Thailand’ yang dilaksanakan pada 16 September baru-baru ini.

Baginda mendoakan agar seluruh umat Islam di Perlis dan Malaysia serta mereka di Thailand supaya bersama-sama mencari solusi terbaik serta berusaha sedaya upaya membantu dalam pembangunan Ummah di negeri dan di rantau ini.

Semoga segala apa yang kita usaha dan lakukan selama ini mendapat keberkatan, dipermudahkan dan beroleh keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan pada masa yang sama kerjasama erat yang telah sekian lama terjalin antara MAIPs dan 6 Wilayah Andaman di Selatan Thailand ini dapat diteruskan bahkan disuburkan, titah baginda.

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button