Nasional

Latheefa Koya tidak boleh sahkan

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak boleh mengesahkan sama ada sembilan rakaman audio membabitkan pegawai tinggi yang bocor kepada orang ramai pada Januari adalah hasil pemintasan oleh agensi itu.

Rakaman audio yang didedahkan dalam sidang akhbar SPRM pada 8 Jan didakwa membabitkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakaman beberapa perbualan telefon lain yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Selain Najib, perbualan itu didakwa membabitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa individu berprofil tinggi lain.

Latheefa, 47, yang disepina pihak pembelaan untuk memberi keterangan mengenai ketulenan rakaman itu berkata ia telah dihantar oleh individu tanpa nama dalam sebuah sampul surat yang mengandungi sembilan pemacu jari bersama sekeping kertas yang memberi penjelasan mengenai kandungan setiap item.

Pemacu jari itu mengandungi audio yang disifatkan Latheefa sebagai “rakaman yang amat jelas.”

Saksi ke-13 pembelaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-88 perbicaraan Najib yang berdepan dakwaan menyeleweng sejumlah RM42 juta dana SRC International.

Muhammad Shafee: Sehingga hari ini, adakah terdapat sebarang proses untuk mengesahkan ketulenan (rakaman audio itu)?

Latheefa: Kami telah menyerahkan rakaman itu kepada polis dan mereka melakukan siasatan. Saya rasa mereka telah menyerahkannya kepada pihak keselamatan siber. SPRM juga melakukan siasatan, kami telah membuka fail di bawah Seksyen Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ditanya Muhammad Shafee apa yang berlaku sehingga menyebabkan beliau mendedahkan rakaman itu kepada umum, Latheefa berkata asas utama ialah pendedahan yang mengejutkan berkaitan usaha menutup skandal tersebut dan potensi untuk mereka-reka bukti.

“Tidak ada keperluan seperti itu apabila ia melibatkan kepentingan awam. Ini bukan kali pertama kami berkongsi maklumat dengan orang ramai apabila ia melibatkan kepentingan awam,” katanya merujuk kepada skandal air Sabah.

Muhammad Shafee kemudian menyoal Latheefa mengenai kesahan pemintasan rakaman audio itu.

Muhammad Shafee: Soalan saya kepada anda ialah adakah ini hasil pemintasan yang sah oleh SPRM?

Latheefa: Saya tidak dapat menentukannya.

Muhammad Shafee: Adakah anda bersetuju bahawa (polis) Cawangan Khas (SB) memiliki kemudahan(pemintasan sah) yang serupa?

Latheefa: Ya. Begitu juga dengan tentera.

Muhammad Shafee: Anda lupa tentang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Mereka juga boleh memintas anda. Terdapat empat agensi yang boleh memintas anda.

Peguam itu juga mempersoal langkah Latheefa mendedahkan rakaman itu kepada umum dan berkata suruhanjaya tersebut boleh menyiasat rakaman itu terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Lateefha kemudian menjawab bahawa kandungan rakaman itu lebih penting dan SPRM boleh mendedahkannya kepada umum serta masih menyiasatnya.

Muhammad Shafee: Apa yang anda harapkan daripada orang ramai (selepas mendedahkan kandungan rakaman itu)?

Latheefa: Itu bukan pertimbangannya. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu.

Latheefa dijangka meneruskan keterangannya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Isnin.

Najib sedang membela diri atas tujuh pertuduhan RM42 juta dana SRC International, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana SRC. – BERNAMA

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button