BPN2.0 bantu golongan B40, M40
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemberian tunai tambahan di bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN2.0) dengan peruntukan hampir RM7 bilion.
Perdana Menteri berkata tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0 kerana kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.
Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, Muhyiddin berkata kerajaan akan memberi peluang untuk proses rayuan serta permohonan baharu.
Perkara itu diumum Muhyiddin dalam pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.
“Jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 adalah RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.
“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya, pada Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada bulan Januari 2021 adalah RM300,” katanya.
Dengan pengumuman itu, Muhyiddin berharap golongan terbabit dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian mereka seisi keluarga.
Perdana Menteri berkata bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.
Kerajaan pada 27 Mac lepas mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Sebelum ini, pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada golongan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.- BERNAMA