Nasional

UPSI gerak ResQ team bantu mangsa banjir di Kelantan

Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan akibat banjir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan sukarelawan ResQ Team untuk misi kemanusiaan di dua daerah negeri pantai Timur tersebut kelmarin.

Norkhalid (tengah) bersama Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah (dua dari kiri) dan Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong ( dua dari kanan).

Matlamat misi pasca banjir kali ini bukan sahaja menyalur khidmat bantuan pembersihan yang terjejas akibat bencana alam tersebut, malah turut menyalurkan bantuan sumbangan berbentuk pakaian dan makanan kepada mangsa yang terkesan serta 30 keluarga pelajar UPSI di sekitar Kelantan dan Terengganu.

Menurut ketua misi, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, kali ini seramai 72 sukarelawan membabitkan 16 kakitangan, 56 pelajar dari Majlis Anak Johor (M@JOR), sebuah lori, dua buah bas, sebuah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta pelbagai peralatan pembersihan digerakkan ke lokasi.

Dr Norkhalid (dua dari kanan) memberi kata-kata semangat kepada sukarelawan ResQ Team.

“Misi kali ini digerakkan bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dengan mengagihkan keperluan asas kepada para penduduk di kawasan terjejas dengan membantu membantu membersihkan rumah mereka serta kenalpasti keperluan lain.

“Malah dengan kehadiran para sukarelawan dari kalangan mahasiswa sekaligus menanam semangat kemasyarakatan sebagai menyokong aspirasi pendidikan negara,” jelasnya ketika sesi flag-off di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni )Profesor Dr. Norkhalid Salimin berharap usaha murni yang dijalankan itu dapat membantu meringankan beban mangsa yang terkesan.

Beliau juga turut mendoakan keberkatan dan keselamatan pergerakan sukarelawan dalam menjayakan misi ini.

Dr Norkhalid melepaskan pergerakan bas yang membawa sukarelawan.

Dalam pada itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan dan semangat kesukarelawanan ResQ Team yang terus disemai dalam diri yang menjadi pembakar kepada mereka untuk terus membantu masyarakat dan secara tidak langsung mendekatkan warga universiti dengan masyarakat.

“UPSI sentiasa menghantar misi kemanusiaan atas dasar keprihatinan membantu mangsa banjir di seluruh negara dan sejak ResQ ditubuhkan lebih 40 misi bantuan dilaksanakan,’ katanya.

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button