Nasional

COVID-19: Kerajaan perlu bertindak pantas

SELURUH negara, bahkan seluruh dunia berdoa semoga kita berjaya mengatasi dugaan yang diturunkan oleh yang Maha Esa ke atas muka bumi ini dengan wabak membunuh COVID-19.

Lapan kematian dengan lebih 1,000 kes di Malaysia adalah satu amaran bahawa kita juga telah termasuk dalam gelombang kedua penularan wabak berkenaan.

Bukan mahu tunjuk pandai atau cuba mengajar mana-mana pihak, tetapi sebagai wartawan yang berada di dalam koridor maklumat, pelbagai infromasi disampaikan minta dihebahkan kepada masyarakat demi kebaikan bersama.

Sebagai wartawan yang beretika dan terlatih saya menapis maklumat yang sampai serta mengelak daripada menyebarkan sesuatu yang bakal menimbulkan rasa panik kepada masyarakat.

Walaupun perkara berkenaan sudah tidak mempunyai makna di dalam kehidupan masa kini apabila maklumat tanpa diperiksa kesahihannya bertebaran di media sosial.

Saya juga cuba menahan diri daripada mengkritik kerajaan yang ada hari ini, kerana mereka juga kerajaan bidan terjun dan lebih malang mereka terjun terus masuk ke dalam bencana biologi yang bukan saja tidak difahami oleh mereka, bahkan oleh hampir seluruh masyarakat dunia.

Sebab itu saya telah mencadangkan krisis ini dikendalikan oleh penjawat awam atau bekas penjawat awam seperti tentera dan polis yang saya kategorikan sebagai patriot yang mempunyai kewibawaan luar biasa bagi mengendalikannya. Mungkin bekas panglima angkatan tentera, atau bekas ketua polis negara.

Bukan orang politik, apatah lagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang setakat ini hanya menjadi medan untuk menunjukkan siapa lebih hebat dan lebih pandai.

Apabila orang politik berlebihan campur tangan ia menyebabkan situasi berbeza, apatah lagi negara belum lagi selesai daripada kemelut politik.

Pasti ada pihak yang anti kerajaan hari ini dan merupakan kerajaan terdahulu sangat teruja untuk menunjukkan mereka lebih bijak daripada kerajaan hari ini.

Dan kerajaan hari ini pula sibuk menyalahkan kerajaan sebelumnya kerana gagal menangani dan mengekang wabak daripada menular.

Namun setakat ini cadangan saya telah dilibas oleh telinga gajah dan negeri ini semakin kehilangan kebolehan mendengarnya. Para menteri mewakili parti dan fraksi memalukan diri tampil masing-masing mahu membuat pengumuman.

Cukuplah drama. Perkara sangat penting pada masa ini ialah bagaimana untuk menghadapi gelombang kedua penularan wabak. Segalanya sudah berlaku perhimpunan tabligh telah berlaku.

Menyalahkan mereka dan menyumpah mereka tidak menyelesaikan masalah. Contoh kes pelajar UiTM yang mendapat penyakit berkenaan daripada bapanya yang menghadiri perhimpunan tabligh tempoh hari.

Pelajar itu sempat hadir kelas sebelum semua pusat pengajian tinggi ditutup. Kelas itu juga sempat digunakan oleh para pelajar lain tanpa dinyahkan virus COVID-19.

Kebanyakan pelajar ini pulang ke rumah bersama keluarga berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ini baru satu kes kita dapat lihat bagaimana cepatnya ia merebak dalam kadar massa dan sukar dielakkan.

Apa yang perlu dibuat pasa masa ini selain daripada mengetatkan pergerakan rakyat tanpa menafikan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan asas, adalah memberi maklumat dan mendidik masyarakat bagi mengelak daripada terkena jangkitan serta mengelak daripada menularkan kepada orang lain.

Difahamkan 95 peratus jemaah tabligh telah membuat pemeriksaan dan hanya sekitar 5 peratus yang belum tampil membuat pemeriksaan. Baki itu adalah kemungkinan pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen atau mereka yang degil.

Teruskan menggesa golongan 5 peratus ini tampil membuat pemeriksaan dan melaksanakan kuarantin sendiri selama dua minggu.

Satu perkara lagi yang sangat penting ialah kerjasama pihak kerajaan dengan swasta. Kerjasama ini bukan bermakna pihak kerajaan telah gagal, tetapi ia adalah usaha bersama dalam mengembleng tenaga menentang wabak maut ini.

Hospital kerajaan secara logiknya sedikit hari lagi tidak akan mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 yang meningkat setiap hari. Paling kritikal adalah keperluan bilik serta kemudahan ICU.

Dalam situasi ini hospital swasta boleh mengambil  para pesakit bukan COVID-19, bagi membolehkan hospital-hospital kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada menangani pesakit wabak itu.

Kebanyakan pesakit COVID-19 akan mengalami masalah pernafasan dan tentunya alat bantuan pernafasan tidak akan mencukupi di hospital kerajaan apabila jumlah kes semakin meningkat.

Oleh itu peralatan dari hospital swasta perlu digerakkan segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan tidak terkawal.

Jangan terlampau memikirkan kos kerana kita bukan sedang menguruskan perniagaan pada masa ini, kita menguruskan bencana biologi.

Gabungan pengamal perubatan swasta telah mengeluarkan kenyataan bersama bersedia membantu kerajaan sama ada dalam menyediakan peralatan, mahu pun kakitangan. Jadi kerajaan perlu bertindak segera.

Ahli politik yang berada di pihak pembangkang belajar menutup mulut seketika daripada membuat kenyataan yang memburuk keadaan. Ketepikan sebentar perbezaan fahaman politik.

Warga internet atau netizen dinasihatkan tidak menularkan berita palsu dan tidak melayan ahli politik tuli mata dan hati ini.

Biarlah mereka meroyan seorang diri dan akhirnya bila tidak ada like dan share mereka akan mendiamkan diri.

Bagi mereka yang mempunyai hubungan dengan mereka yang berisiko jangkitan COVID-19 perlu jujur mendedahkan maklumat kesihatan peribadi.

Kes di Hospital Laguna Merbok tidak harus berulang. Pesakit yang mahu bersalin hanya memberitahu dia mempunyai tanda-tanda jangkitan COVID-19, hanya selepas di selesai melahirkan anaknya.

Siasatan lanjut telah mengesahkan bahawa wanita itu menetap sekali bersama seorang ahli keluarga yang telah menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur dan telah disahkan positif Covid-19.

Bayangkan dalam keadaan sekarang apa yang berlaku kepada kakitangan hospital berkenaan dan pesakit lain yang berada sama dengannya di dalam bilik bersalin.

Sudahlah kakitangan perubatan tidak mencukupi bagi menangani wabak yang menular. Ramai pula yang akan jatuh sakit.

Yang penting masing-masing mempunyai peranan. Bagi masyarakat patuhilah arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Pihak swasta jangan hanya mahu ‘cuci tangan’ bantulah kerajaan dan kerajaan pula perlu bertindak pantas dan tepat.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button