fbpx
PRK

PRK Slim: Pegawai, anggota polis dan pasangan jangan tular gambar kertas undi

KETUA Polis Perak Datuk Razarudin Husain memberi peringatan kepada semua pengundi awal dalam kalangan pegawai dan anggota polis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Selasa depan supaya tidak merakam gambar kertas undi yang telah dipangkah dan menularkannya di laman media sosial.

Razarudin berkata, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 19 (8), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 sekiranya perbuatan itu dilakukan.

“Perkara ini tidak sepatutnya dilakukan kerana undi adalah rahsia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan 44 unit kenderaan peronda polis (MPV) baharu Honda Civic 1.8 bagi Kontinjen Polis Perak, hari ini.

Dengan penambahan 44 unit MPV baharu itu, kontinjen Perak mempunyai 288 MPV dan mampu melakukan penugasan sepenuhnya termasuk rondaan pemantauan dan pencegahan jenayah.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Ogos ini sebagai hari pengundian awal dan membabitkan 277 pengundi terdiri daripada anggota polis dan pasangan masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai PRK DUN Slim, Razarudin berkata, tiada laporan berkaitan kesalahan berkempen diterima setakat ini.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd. Zaidi Aziz serta dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S. Santharasekaran. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button