Nasional

Kerajaan tidak campur urusan pendek atau lanjut Perintah Darurat

KERAJAAN dikatakan tidak akan mencampuri urusan melibatkan keputusan untuk melanjut atau memendekkan tempoh Perintah Darurat.

Sebaliknya, keputusan itu hanya akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong yang menerima nasihat daripada panel bebas seramai 19 orang dilantik termasuk Ahli Parlimen Pembangkang.

Darurat yang sedang dikuatkuasakan pada ketika ini adalah kali pertama ditetapka tarikh tamatnya iaitu pada 1 Ogos nanti.

Berbanding Perintah Darurat sebelum ini, negara berhadapan ancaman komunis serta kententeraman awam menyebabkan tiada tempoh tamat ditetapkan ketika ia diisytiharkan.

“Tentang darurat, ada dua perkara yang asas. Ini kali pertama darurat di negara yang ada tarikh tamat yakni sekarang kita letak pada 1 Ogos.

“Sebelum ini darurat kerana 13 Mei, komunis dan sebagainya tidak ada tarikh seperti ini.

“Kedua, memanglah yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong ialah Perdana Menteri selepas keputusan kabinet untuk mengadakan darurat.

“Tetapi, kita hendak memastikan kita juga telus dan dari segi menasihati Agong. Jadi kerana itu, baginda perkenan melantik satu panel penasihat bebas seramai 19 orang.”

Demikian jawab Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam sidang akhbar dalam program Jelajah Malaysia Prihatin di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, Kuala Lumpur.

Terdahulu, seramai 19 orang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa bebas darurat.

Jawatankuasa itu diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, ia juga turut dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai serta bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memberitahu panel tersebut akan menasihati Agong  berkenaan tempoh Perintah Darurat.

“Panel 19 orang ini terdiri daripada mereka yang sangat berpengalaman, bekas Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi.

“Jadi ia satu panel yang bebas, yang bipartisan atau non partisan. Tuanku boleh perkenan meminta nasihat mereka pada bila-bila masa.

“Kerajaan tak akan campur dari segi hendak sambung atau pendekkan darurat,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Pengisytiharan Darurat berkuatkuasa pada 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021.

Beliau menjelaskan pelaksanaan darurat adalah sebagai usaha untuk mengawal penularan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) apabila kes harian baharu mencecah empat angka sejak hujung tahun lepas. – SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button