Nasional

JPN, PIBG perlu cari kaedah pantau pelajar elak diculik

Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN) diarahkan untuk mencari kaedah terbaik bagi memantau keselamatan pelajar sekolah bagi mengelak daripada berlakunya kes penculikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Komunikasi, Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu amat perlu dilakukan berikutan kejadian penculikan dalam kalangan pelajar sekolah kini dilaporkan berlaku di beberapa buah negeri sejak akir-akhir ini.

Menurutnya, walaupun tiada sebarang laporan mengenai penculikan pelajar sekolah berlaku di negeri ini namun usaha meningkatkan keselamatan di sekolah wajar dilakukan segera.

“Saya akan berjumpa JPN dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri ini bagi membincangkan apakah kaedah paling sesuai untuk dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pelajar.

“Mungkin kita boleh diusulkan satu kerjasama melibatkan JPN, sekolah dan PIBG untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan pelajar di sekolah-sekolah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM),
Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

Mengulas lanjut Rais berkata, penglibatan PIBG dalam isu berkenaan penting berikutan wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang risau mengenai keselamatan anak mereka sejak kejadian penculikan berlaku di beberapa buah negeri.

Di samping itu katanya, pihak sekolah perlu sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PIBG bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Menurutnya, satu mesyuarat penyelarasan antara JPN dan PIBG akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan kaedah terbaik untuk meningkatkan tahap keselamatan di sekolah.

Katanya, mesyuarat berkenaan perlu diadakan untuk melihat mungkin ada sesetengah sekolah telah membuat langkah keselamatan mengikut kesesuaian mereka yang berbeza-beza dengan setiap sekolah.

“Kita nak kena tahu kalau tutup pintu ataupun kita bukak satu pintu sahaja tetapi kadang-kadang takut ibu bapa susah hendak ambil anak-anak selepas waktu sekolah,” ujarnya. – SM

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button