Ekonomi

Kerajaan sedia pakej rangsangan ekonomi jika perlu

KERAJAAN sedang menilai dan bersedia untuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi jika perlu, walaupun masih terlalu awal untuk menilai impak 2019 Novel Koronavirus ke atas ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Pada masa ini, masih terlalu awal untuk kerajaan bertindak kerana ia perlu mengkaji dan menganalisis impak ke atas ekonomi,” katanya.

“Yang penting kini ialah beri tumpuan dan sokongan terhadap usaha dan tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan Malaysia selamat dan bebas daripada virus berkenaan,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata sebelum wabak virus itu, kerajaan sudah pun mengambil langkah untuk pakej rangsangan ekonomi berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Namun, katanya (pakej itu) digunakan dahulu, jika perlu, ekoran wabak penyakit terbabit.

Selain itu, Lim yang ditanya mengenai rancangan kerajaan untuk menyemak semula dasar fiskal negara seperti yang diputuskan oleh kerajaan Thailand susulan wabak koronavirus, berkata Malaysia mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

“Thailand menarik kunjungan kira-kira 11 juta pelancong dari China, jauh lebih besar dari Malaysia, yang menerima kira-kira dua hingga tiga juta pelancong China, oleh itu impak ke atas ekonomi mereka lebih tinggi berbanding kita (Malaysia),” katanya.

Menurut laporan, Pejabat Dasar Fiskal Thailand (FPO) menurunkan penarafan ke atas unjuran ekonomi Thailand kepada 2.8 peratus tahun ini dan 2.5 peratus tahun lepas selepas mengambil kira impak wabak virus itu serta kelewatan dalam rang undang-undang belanjawan bagi tahun fiskal 2020.

Sementara itu, sidang media tersebut turut dihadiri Naib Presiden Asia Timur dan Pasifik Kumpulan Bank Dunia, Dr Victoria Kwakwa.

Mengulas mengenai Koronavirus, Kwakwa berkata sebagai institusi pembangunan dunia, ia memantau rapat pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengesan impak dan pada masa yang sama menawarkan sokongan teknikal dan analisis kepada China dan negara lain di rantau ini.

“Kami juga berkongsi maklumat mengenai pengalaman global pada masa lepas seperti sindrom penapasan akut teruk (SARS) dan mula mengkaji impak ekonomi akibat koronavirus,” katanya.

Terdahulu, Lim berkata kerajaan mencapai persetujuan bersama dengan Kumpulan Bank Dunia untuk memperluas tugasan Hab Global Kumpulan Bank Dunia di Kuala Lumpur untuk tempoh lima tahun lagi ,dari 2021 hingga 2025.

Beliau berkata hab yang mempunyai 50 pekerja itu, separuh daripada rakyat Malaysia, akan membantu Malaysia untuk beralih kepada ekonomi digital dan membantu untuk memberi tumpuan dalam mengekalkan pembangunan sistem kewangan konvensional dan Islam serta mengamalkan tadbir urus yang baik.

Sementara itu, Kwakwa berkata sebagai sebahagian daripada lanjutan perjanjian itu, ia akan menamakan semula pejabat berkenaan sebagai ´Hab Pertumbuhan Kewangan Mampan dan Inklusif pada Julai 2020.

“Kami juga akan terus memberi tumpuan dalam menyokong usaha Malaysia untuk mencatat pertumbuhan inklusif ke arah kemakmuran bersama dan mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Satu lagi bidang tumpuan ialah mempromosi peranan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan mampan.

Malaysia, yang menjadi ahli Bank Dunia pada 1958, menandatangani perjanjian pertama dengan Bank Dunia untuk menubuhkan pusat pengetahuan dan penyelidikan pada 27 Jan 2015.

Sementara itu, setakat ini Malaysia mencatat tujuh kes disahkan koronavirus, kesemunya membabitkan warga China.- BERNAMA

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button