Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis berkenan lawat Curtis Crest Tree Top Walk
RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Curtis Crest Tree Top Walk di The Habitat, Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Eksekutif The Habitat Foundation, Justine Vaz dan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim.
Baginda berdua juga diiringi anakanda-anakanda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Baginda berkenan meluangkan masa selama dua jam merentasi kawasan seluas lima hektar sejauh 1.6km di aras ketinggian 800 meter dari paras laut dan dapat melihat hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang itu.
Waktu beroperasi adalah bermula jam 9 pagi hingga 7 petang dan waktu akhir untuk naik pula pukul 6 petang.
Para pengunjung turut boleh menunggu waktu untuk matahari terbenam pada hujung minggu bermula pada jam 5.30 petang dan perlu keluar pada pukul 8 malam. Harga tiket bermula dari RM60 untuk dewasa manakala RM40 untuk kanak-kanak.
Turut disediakan adalah pakej di mana ditawarkan harga RM160 bagi dua orang dewasa dan dua kanak-kanak.
Sedikit sejarah mengenai The Habitat iaitu pada 14 Februari 2012 kerja-kerja pembinaan pembaikan telah dimulakan dengan mengekalkan laluan asal yang telah dibina oleh pihak British bagi mengelakkan tanah runtuh dan hakisan tanah.
Pada 14 April 2012, Creative Quest Sdn Bhd telah mendapat kontrak bagi kerja-kerja pembangunan dengan kos RM3 juta.
Mulai 17 Disember 2016 adalah tarikh di mana The Habitat telah dibuka untuk pengunjung.
Untuk rekod, The Habitat Foundation mempunyai kerjasama yang erat dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di bawah pimpinan Pengarahnya, Awang Shaffie Awang Ahmadni. Ia juga sebelum ini pernah memainkan peranan membantu menjayakan ‘forest trail loop’ yang mampan ke Gunung Perlis. – SM