NasionalNegeri

Raja Muda Perlis lawat MMU di Cyberjaya

Pengurusan tertinggi Multimedia University (MMU) menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat melawat ke kampusnya di Cyberjaya, Selangor, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima cederamata dari Dr. Mazliham semasa lawatan ke MMU.

Keberangkatan tiba Baginda sempena ‘Program Kayuhan DYTM Raja Muda Perlis @ MMU’ itu disambut oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MMU, Prof Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud serta para pegawai kanan universiti.

Antara kemudahan-kemudahan yang dilawati oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra di sekitar Rimba Ilmu MMU termasuklah ‘Indoor Smart Farming Lab’ di Fakulti Kejuruteraan, ‘E-Gallery’ Fakulti Multimedia Kreatif, menyaksikan tayangan dua buah filem pendek dari Fakulti Seni Sinematik dan juga Filem Animasi dari Fakulti Multimedia Kreatif di MMU Cinema dan juga Sound Stage Fakulti Seni Sinematik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra mengetuai ‘Program Kayuhan DYTM Raja Muda Perlis @ MMU’

Dalam ucapan aluan beliau, Mazliham menyembah maklum kepada Baginda yang MMU ditubuhkan untuk memainkan peranan sebagai institusi pengajian tinggi yang membekalkan pekerja mahir dan berpengetahuan tinggi khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan digital untuk keperluan industri.

Di samping itu, katanya MMU turut menawarkan bidang pengajian dalam Multimedia Kreatif, Seni
Sinematik, Perniagaan & Pengurusan, Kewangan, Perakaunan, Undang-undang. dan Komunikasi Strategik.

Jelas beliau, sejak penubuhan MMU, universiti ini telah menghasilkan lebih 75,0000 graduan
dari dalam dan luar negara.

Katanya, kini MMU mempunyai 16,500 pelajar di mana lebih 1,400 daripada mereka adalah pelajar antarabangsa dari 70 negara.

Tambah Mazliham, MMU telah melahirkan ramai graduan cemerlang yang menjadi pemain utama dalam pelbagai industri, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Antara mereka adalah Nizam Razak (Boboiboy), Usamah Mohd. Zaid Yassin (Ejen Ali), Ghazali Abu Bakar (filem Polis Evo), Dr. Kevin Koay (salah seorang daripada sekumpulan saintis yang menemui Lohong Hitam atau Black Hole di galaksi angkasa lepas), Tan Aik Keong (CEO Agmo Studio Sdn. Bhd.), Datuk Dr. Nazri Khan (pakar kewangan) dan banyak lagi.

Terdahulu itu Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran menyampaikan ucapan bagi mewakili seluruh barisan tetamu undangan yang hadir.

Untuk rekod, MMU adalah sebuah universiti berkaitan kerajaan (GLU) yang ditubuhkan pada tahun 1997 oleh syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM).

Tuanku Syed Faizuddin berkenan disembah maklum ketika melawat MMU sempena Program Kayuhan DYTM Raja Muda Perlis @ MMU’ .

MMU pada mulanya dikenali sebagai Universiti Telekom yang terletak di Bukit Beruang, Melaka.

Nama Universiti Multimedia (MMU) mula digunakan apabila Telekom Malaysia (TM) telah diminta oleh kerajaan untuk mewujudkan kampus baharunya di Cyberjaya.

Semasa Cyberjaya dibuka, MMU adalah antara institusi terawal yang membangunkan bangunan di Cyberjaya. – SM

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button