Ketua Penerangan BERSATU Johor ‘sekolahkan’ Tok Mat Hassan
SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isu basi dan tidak lagi dipedulikan seperti dinyatakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan adalah suatu yang amat memalukan dan satu lagi tragedi terkini kepada Bangsa Melayu.
Kenyataan pemimpin kanan BN itu mencerminkan nilai prinsip kepemimpinan UMNO yang cetek dan keangkuhan beliau yang tidak peka kerana menafikan sentimen akar umbi termasuk kemarahan rakyat terhadap penipuan serta penyelewengan kuasa oleh Datuk Seri Najib Razak dalam skandal itu untuk membolot kekayaan.
“Skandal 1MDB adalah jenayah yang memalukan Bangsa Melayu dan negara.
“Jadi, bagaimana dalam satu tempoh yang singkat, Datuk Seri Mohamad Hassan boleh melupakan penipuan dan penyelewengan kuasa paling besar serta terburuk pernah berlaku dalam sejarah zaman moden ini,” kata Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri dalam kenyataan, hari ini.
Sebaliknya, kata Mohd Solihan, apabila Timbalan Presiden UMNO itu dengan ‘bangga’ mengatakan isu skandal 1MDB sudah basi dan tidak lagi dipedulikan rakyat maka itu satu lagi tragedi melanda Bangsa Melayu kerana memiliki pemimpin yang sanggup mengabaikan perasaan dan kepentingan seluruh bangsa itu semata-mata untuk mempertahankan seorang pemimpin tertentu.
“Oleh itu, jika inilah cara bercakap, tahap kemampuan berfikir serta pegangan pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Mohamad Hassan maka parti itu sudah tidak ada nilai lagi,” katanya.
Justeru BERSATU Negeri Johor mendesak beliau meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut secara terbuka kerana ia telah melukakan hati, memalukan serta mencemarkan maruah seluruh Bangsa Melayu, kata Mohd Solihan lagi.
Katanya, orang Melayu seperti Datuk Seri Mohamad Hassan inilah sebenarnya orang Melayu yang mudah lupa.
“Pada masa sama, rakyat sama sekali tidak akan memaafkan dan melupakan skandal mega seperti 1MDB. Fakta kes ini tidak boleh dipadamkan,” ujarnya.
Mohd Solihan berkata, Datuk Seri Mohamad Hassan mesti ingat, kemarahan dan kekecewaan akar umbi pada UMNO telah ditunjukkan melalui protes senyap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu apabila peratusan pengundi keluar untuk memilih calon, merosot dengan mendadak.
Tambah beliau, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), rakyat akan menunjukkan protes seterusnya pada PRU15.
“Kemenangan calon BN pada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN dalam tempoh dua tahun lalu tidak boleh dianggap kerana kekuatan BN tetapi disebabkan faktor lain termasuk ketidaksepakatan pembangkang,” katanya. – SM