Politik

Insafi hakikat politik sama rata sama rasa

Oleh Ruhanie Ahmad

Pada tahun 1964 terdapat sekumpulan parti politik bermain dengan tahap atau nombor peratusan rakyat Malaysia yang majoritinya bukan Peribumi dan minoritinya Peribumi.

Lantas terbentuklah perjuangan politik Malaysian Malaysia yang secara tersirat menuntut kesamarataan hak untuk semua rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan, tanpa mengira kaum atau agama.

Dalam bahasa orang kampung saya di Batu Pahat, Johor pada ketika itu, lahirlah perjuangan politik sama rata sama rasa.

Maksudnya, apa yang Peribumi perolehi daripada Perlembagaan Persekutuan mesti juga dikongsikan dengan bukan Peribumi.

Apa yang Muslim perolehi daripada perlembagaan yang sama, mesti juga dikongsikan dengan bukan Muslim.

Dalam bahasa yang tersirat, perjuangan politik Malaysian Malaysia adalah perjuangan halus untuk menentang beberapa peruntukan khusus mengenai Peribumi dan Muslim yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ertikata khususnya, ia menentang secara halus pelbagai peruntukan mengenai jatidiri nasional dalam Perlembagaan Persekutuan.

Politik jenis ini jadi salah satu punca Singapura disingkirkan daripada Malaysia sebab ia didakwa menyemarakkan sentimen permusuhan kaum.

Namun setelah penyingkiran itu, semangat perjuangan politik Malaysian Malaysia disambung dan disemarakkan oleh sebuah parti politik yang baru.

Semangat politik sama rata sama rasa ini jadi bermasalah apabila peratusan penduduk Peribumi di Malaysia bertambah dari tahun ke tahun sehingga kini.

Lantas para pejuang politik Malaysian Malaysia pun tercari-cari slogan baru untuk dijadikan kuda kayu bagi menyembunyikan taring Malaysian Malaysianya.

Slogan itu muncul menerusi penjelmaan perkataan New Malaysia atau Malaysia Baharu dalam PRU14.

Ramai pihak tidak menyedari hakikat ini kerana perkataan New Malaysia dalam manifesto PH untuk PRU14 tidak pernah didefinisikan oleh kerajaan.

Lantas ia dikonseptualisasikan secara unilateral oleh pelbagai pihak, sebagai blueprint kepada rombakan arah dan dasar pembinaan negara (to re-set nation-building process and policies) yang telah dibentuk oleh kerajaan Perikatan dan BN.

Namun penjenamaan semula Malaysian Malaysia menerusi New Malaysia mula disedari segolongan Peribumi apabila Melayu disifatkan kononnya sebagai pendatang, dan Bahasa Mandarin cuba disama tarafkan dengan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan.

Ia juga mula disedari apabila sebuah parti politik mengeluarkan ugutan halus untuk keluar daripada PH jika objektif New Malaysia dipinggirkan kerajaan PH.

Fenomena di atas menjadi antara pemangkin utama BERSATU mengambil keputusan meninggalkan kerajaan PH dan gabungan politiknya.

Hakikatnya demikian sebab BERSATU yakin politik Malaysian Malaysia yang dijelmakan menerusi New Malaysia boleh menjejaskan masa depan Peribumi dan keselamatan politiknya di abad ke-21.

(Datuk Dr Ruhanie Ahmad, selaku penganalisis isu strategik dan keselamatan, adalah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, 1990-2003)

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button